Dijel sehari, denda RM1,000 kerana tawar suapan RM50

Thi To Nga (dua dari kanan) dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
Thi To Nga (dua dari kanan) dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pembantu kedai warga Vietnam dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas tuduhan menawarkan suapan RM50 kepada anggota polis pada selasa lalu.

Hakim Mohd Ghazali Muhamad Taib memerintahkan hukuman itu selepas Le Thi To Nga, 40, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Thi To Nga mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dengan menawarkan suapan iaitu wang tunai RM50 kepada Koperal Mohd Zarul Hafiz Azhar@Mohd Azhar yang bertugas di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Rompin sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman bagi kesalahan abai isyarat lalu lintas di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan itu dilakukan oleh Thi To Nga di Jalan Utama Rompin bersebelahan bangunan Maybank cawangan Rompin, kira-kira jam 12 tengahari pada Selasa lalu.

Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, Akta (574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman kerana telah insaf, selain mempunyai pendapatan RM30 sehari.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin mahu mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!