Cemar alam sekitar: Denda RM1 juta dan penjara

LOY SIAN (FOTO SINAR HARIAN: MOHD IZARI ROSLI)
LOY SIAN (FOTO SINAR HARIAN: MOHD IZARI ROSLI)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bercadang denda maksimum untuk kesalahan pencemar air dinaikkan kepada RM1 juta daripada RM500,000 menerusi pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, pindaan enakmen berkenaan akan dibuat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang Oktober hingga November depan.

Beliau berkata, pindaan itu diyakini mampu menangani masalah pencemaran oleh pihak ketiga, ke atas punca air di negeri berkenaan.

"Kita mahu tambah baik enakmen ini, kalau sebelumnya denda kesalahan pencemaran alam sekitar ialah RM500,000, sekarang denda RM200,000 secara minimum dan RM1 juta maksimum, selain hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

"Perkara ini akan dibawa ke sidang DUN pada Oktober nanti dan akan dibuat dalam pembentangan bajet tahunan untuk ia segera dipinda," katanya ketika program Wacana Siri ke-192 bertajuk ‘Masalah air, sampai bila? yang disiarkan secara langsung di di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Loy Sian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang berkata, pihaknya menerusi LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga giat menjalankan operasi pemantauan 24 jam sumber air (Ops Sumber Air) bagi mengesan aktiviti pencemaran sungai.

"jika insiden itu tidak ditangani segera, ia boleh menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) utama terpaksa dihenti tugas untuk tujuan pembersihan.

"Kita juga mempunyai Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air dan Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Mentah yang berperanan untuk menangani krisis air di Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Setiap tahun sekurang-kurangnya empat kali semua agensi terlibat duduk berbincang bagi menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

"Jika masih ada mereka yang ingkar berbuat demikian dalam tempoh itu, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merobohkan struktur bangunan yang memberi impak kepada pencemaran alam sekitar.

"Malah kita juga merancang untuk membina LRA Sungai Rasau dan jika ini berjaya, ia dapat membekalkan air di kawasan sekitar Shah Alam sekiranya berlaku penutupan air di LRA Sungai Selangor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!