Angkatan Muda PKR Sabah persoal semangat kesatuan Warisan Plus

Razeef Rakimin
Razeef Rakimin
A
A
A

KOTA KINABALU - Angkatan Muda PKR Sabah mempersoalkan semangat kesatuan yang dilaungkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sehingga menyebabkan perlanggaran kawasan yang mahu ditandingi PKR.

Sebelum ini, PKR mengumumkan untuk bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Matunggong, Pintasan, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Petagas, Limbahau, Membakut, Klias, Kemabong, Sook, Sungai Manila dan Segama.

Bagaimanapun semalam, Warisan mengumumkan untuk bertanding di Pintasan, Petagas, Limbahau, Membakut, Sungai Manila dan Segama manakala kerusi Kemabong diserahkan kepada UPKO.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Razeef Rakimin dalam satu kenyataan semalam, mempersoalkan tindakan berkenaan yang melanggar kerusi rakan dalam pakatan itu.

"Di sini saya ingin mempersoalkan di mana semangat kesatuan yang sering dilaungkan Mohd Shafie apabila dengan jelas melanggar kerusi rakan dalam pakatan?

"Saya juga terkilan apabila rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah dan DAP tidak mendapat tempat selayaknya walaupun mereka banyak mengorbankan beberapa perkara untuk mendapat perhatian Mohd Shafie," katanya.

Katanya lagi, antara perkara yang sanggup mereka lakukan ialah menolak calon Perdana Menteri PH sebaliknya menyokong calon lain yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad iaitu Mohd Shafie sendiri.

"Terbaharu DAP dan Amanah sanggup dengan rendah diri memilih untuk menggunakan logo Warisan sekali gus mengenepikan logo mereka sendiri dan logo PH walaupun UPKO menggunakan logo sendiri atas dasar prinsip dan hormat kepada organisasi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun akhirnya Amanah cuma diberi ruang untuk bertanding hanya satu kerusi iaitu Tanjung Keramat serta terlepas beberapa kerusi berpotensi antaranya Pitas dan Sekong manakala beberapa kerusi potensi DAP dirampas Warisan antaranya DUN Tulid serta beberapa DUN berpotensi buat DAP.

"Kita tidak terlalu risau berkenaan isu agihan kerusi walaupun jumlahnya kecil namun biarlah dilakukan secara adil atas semangat muafakat dan kesatuan dalam Warisan Plus," katanya.

Razeef turut mengingatkan tidak mustahil bukan sahaja rakyat malah penyokong parti dalam Warisan Plus akan melakukan undi protes apabila mereka melihat Warisan sebagai parti tamak kerusi.

Dalam pengumuman semalam, Mohd Shafie mengumumkan Warisan Plus di 66 kerusi manakala selebihnya akan ditandingi PKR.

Warisan mendapat 46 kerusi, UPKO (12), DAP (7), PKR (7) dan Amanah (1) dengan jumlah keseluruhan sebanyak 73 kerusi akan bertanding dalam PRN Sabah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!