PRN Sabah: Memang susah elak pertembungan kerusi
PENAMPANG - Sekurang-kurangnya sembilan kerusi Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berlaku pertindihan dengan rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
Ia berikutan 15 kerusi yang diumumkan PBS semalam didapati turut ditandingi oleh UMNO (DUN Bengkoka, Tanjung Aru, Telupid dan Malalap), PBRS (Matunggong, Tandek dan Kadamaian) dan MCA (Kapayan dan Karamunting).
Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Maleh berkata, mereka berusaha mengelak daripada berlaku pertembungan dengan parti lain untuk mengalahkan Parti Warisan Sabah (Warisan).
"Kita memang ada usaha tidak bertanding antara satu sama lain, tetapi kalau mereka pun mahu bertanding, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Tetapi sebaik-baiknya, kalau kita dalam perkongsian ini, kita patut bekerjasama menentukan kemenangan dalam kawasan tertentu untuk kebaikan PN.
ARTIKEL BERKAITAN: SPR sedia kendali proses penamaan calon PRN Sabah esok
PRN Sabah: BN, PN, PBS setuju elak pertembungan calon
PRN Sabah: Pas beri laluan demi muafakat
"Kalau boleh kita tidak mahu ada pertembungan kerana kita mahu menang dalam pilihan raya, sebab itu kita perlu elakkan pertindihan tetapi seperti saya katakan, kita ada beberapa kerusi yang kita rasa kuat jadi kita rasa kita pun boleh mengisi calon di mana kita boleh menang walaupun berlaku pertembungan.
"Dalam pilihan raya kali ini sukar untuk kita elak untuk bertembung, memang ada parti akan bertembung," katanya dalam sidang media di pejabat PBS di Donggongon, hari ini.
Diminta mengulas berhubung pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi, Radin berkata, perkara itu sudah diterangkan dalam beberapa perjumpaan.
"Sudah bertemu tiga kali dan beri penerangan berhubung situasi ini kepada Perdana Menteri, jadi beliau pun sudah tahu dan dalam perjumpaan pagi ini, beliau juga nasihatkan cuba untuk elak daripada bertembung," katanya.
Katanya lagi, sekiranya tiada pertembungan kerusi, bantuan jentera pilihan raya PBS akan membantu calon dari PN untuk memenangi kerusi itu.
"Di setiap bahagian ada jentera, jadi di mana tiada pertembungan kita akan bekerjasama dengan parti lain dalam PN supaya kita dapat menumpukan kekuatan kita dalam berkempen," katanya.
Terdahulu, PBS dalam kenyataan medianya mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi iaitu DUN Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tamparuli, Kiulu, Inanam, Api-Api, Tanjung Aru, Kapayan, Limbahau, Kundasang, Melalap, Telupid dan Karamunting.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!