Peniaga pasar malam maut jatuh longkang
IPOH - Seorang peniaga pasar malam maut selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan air dalam kejadian di Tapak Pasar Malam Taman Silibin di sini, petang semalam.
Mangsa, Muhamad Jamil Samsudin, 54, yang tinggal di Bandar Baru Sri Klebang di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian disedari salah seorang peniaga yang baru sampai ke tapak pasar malam.
Menurutnya, ketika membuka gerai, saksi tersebut ternampak sekujur tubuh dalam keadaan tertiarap di dalam longkang sebelum menghubungi pihak polis dan HRPB bagi memaklumkan kejadian.
"Sebelum kejadian, mangsa bersama isteri dan anaknya sedang memasang dan mengikat khemah berniaga ketika hujan lebat. Mereka kemudiannya tidak sedar mangsa telah terjatuh ke dalam longkang.
"Isteri mangsa hanya menyedari setelah dimaklumkan oleh rakan-rakan yang berniaga di pasar malam tersebut selepas mayat ditemui kira-kira 50 meter dari tempat mereka berniaga," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
A Asmadi berkata, berdasarkan laporan dibuat, mangsa dan isteri sudah menjalankan perniagaan kuih peneram di pasar malam tersebut sejak 10 tahun lalu.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan saksi-saksi yang ditemui, pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, seorang peniaga yang menyaksikan kejadian itu, Khamsiah Mohd Salleh, 67, berkata, ketika itu hujan lebat dan semua orang tidak perasan Allahyarham terjatuh.
Menurutnya, gerai Allahyarham dengan gerainya berselang sembilan gerai dan mereka bersama-sama berniaga di pasar malam tersebut sejak 10 tahun yang lalu.
"Masa itu kami ingat pengunjung yang jatuh sebab isteri dan anak dia pun tak perasan. Bila kawan-kawan lain tengok rupanya arwah yang terjatuh," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Khamsiah yang berniaga ayam goreng di situ memberitahu kejadian jatuh longkang seperti itu pernah berlaku sebelum ini tetapi tidak menyebabkan kematian.
Dia sendiri pernah terjatuh ke dalam longkang tersebut tetapi hanya mengalami kecederaan malah beberapa pengunjung pasar malam itu juga pernah mengalami nasib sama kerana keadaan longkang yang tidak berpenutup.
Katanya, terdapat lebih 100 peniaga di situ malah pasar malam tersebut dibuka dua kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis.
"Mungkin pihak berkaitan boleh menyediakan penutup longkang di kawasan ini bagi mengelak kejadian sama berulang selain memastikan keselamatan pengunjung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!