Hanya 255,000 daftar i-Saraan
SEREMBAN - Hanya 255,000 daripada 2.7 juta individu yang bekerja sendiri atau tidak mempunyai pendapatan tetap yang mendaftar di bawah Skim Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) sehingga Jun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, daripada jumlah berkenaan, hanya 18 peratus yang konsisten membuat caruman setiap bulan yang mana minimum RM1 ditetapkan.
"Kita faham ramai yang bekerja sendiri cuma pendaftaran itu tidak memberangsangkan. Kita harap inisiatif ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat sepenuhnya.
“Inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang memperuntukkan geran sehingga RM50 juta untuk jaringan sosial keselamatan di bawah KWSP iaitu i-Saraan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke KWSP di sini, hari ini.
Beliau berkata, di bawah skim berkenaan, kerajaan turut menyumbang sebanyak 15 peratus atau jumlah maksimum RM250 setahun.
Ditanya faktor jumlah pendaftaran yang tidak memberangsangkan, beliau berkata, kerajaan akan menambah baik sistem penyampaian maklumat berhubung perkara itu.
Sementara itu, mengenai Belanjawan 2021, Mohd Shahar berkata, seramai 450,000 responden telah mengambil bahagian dalam memberi cadangan dan input terhadap Belanjawan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, 6 November depan.
Cadangan Belanjawan 2021 yang dimuat naik di laman rasmi Kementerian Kewangan itu telah bermula sejak 15 Ogos dan akan berakhir Selasa depan.
Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan, akan merentasi empat tema utama - mengambil peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan yang mampan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!