Bangsal haram proses air ketum digempur
KUALA LUMPUR - Bangsal haram untuk memproses air ketum digempur polis dalam serbuan di Kampung Padang Balang, Setapak, di sini malam tadi.
Ops Rintis bermula kira-kira jam 9 malam itu turut memberkas sembilan lelaki berusia 35 hingga 56 tahun yang sedang leka menghisap dadah selain memproses air ketum tersebut.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan memproses dan menjual air ketum itu dijalankan sejak Mac lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Serbuan ini bertindak merampas 704 botol air ketum yang disimpan di dalam bekas sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM14,080.
"Selain itu, daun ketum seberat 30 kilogram serta peralatan yang digunakan untuk memprosesnya turut dirampas,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.
Rajab berkata, pemeriksaan di lokasi terbabit turut menemui dadah jenis ganja seberat 5.7 gram yang dipercayai untuk kegunaan suspek di bangsal tersebut.
Katanya, selain itu, pihaknya percaya sebotol air ketum itu dijual dengan harga RM20 di sekitar kawasan Padang Balang dan Gombak.
Tambahnya, operasi sedemikian akan terus dilaksanakan bagi memastikan kegiatan terbabit dibanteras.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!