PH dan kelangsungan politik
AGAK sedih juga bila melihat nasib Pakatan Harapan (PH) ketika ini. Sebelumnya, PH berjaya melakukan sesuatu yang dianggap mustahil iaitu menumbangkan Barisan Nasional (BN) menerusi pilihan raya yang sah.
Selama enam dekad, BN mengeksploitasi dan memanipulasi segala bentuk ruang dalam politik Malaysia, terutamanya menerusi amalan klasik 3M (money, media & machinery) yang menjadi DNA politik BN.
Kesemua elemen itu menjadikan BN terlalu sukar untuk dikalahkan, sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) datang, namun 'Langkah Sheraton' Mac lalu menamatkan segalanya.
Kini, tumpuan PH nampak sedikit pudar. Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal bermula hari ini, masih belum ada tanda-tanda yang PH akan kembali bangkit.
Apa pun, PH terbukti berjaya membentuk satu pakatan pembangkang yang benar-benar kuat dan mampu menyaingi BN berbanding pakatan-pakatan pembangkang sebelumnya. Kelibat Tun Dr Mahathirlah yang memungkinkan segalanya.
Tun menjadi pengubah permainan; meneruskan kepembangkangannya sebelum itu menerusi gerakan himpunan Bersih dan masuk ke dalam PH sebagai penyatu dan penyelaras gerak kerja.
Dalam masa yang sama, tindakan pemecahan elit Najib dengan membersihkan pencabarnya dalam UMNO – Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir – serta meminggirkan tokoh-tokoh berpengaruh seperti Tun Dr Mahathir sendiri memakan diri.
Natijahnya, undi Melayu berpecah dengan signifikan terutamanya di Johor sebagai titik gempa kejatuhan BN.
Lebih lumayan, Johor (Muhyiddin), Sabah (Shafie) dan Kedah (Mukhriz) turut dirampas daripada BN disebabkan pemecahan elit Najib itu.
Cuma sayang, setelah berkuasa realpolitik PH sendiri yang menguburkan pakatan itu.
Persaingan kuasa kepimpinan dalam PH membawa kepada kecelaruan dasar dan ketidaktentuan hala tuju politiknya memakan diri. Dilema transisi jawatan Perdana Menteri menjadi pemangkin kemusnahannya.
Dengan penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selepas meninggalkan PH, Tun barangkali bakal mewujudkan pakatan politik baharu yang menjadi wadah kepembangkangan.
Walaupun dilihat masih awal, ia tidak mustahil dipercepatkan; bergantung kepada cepat atau lambat PRU15 diumumkan.
Walaupun masih menjadi pemilik kerusi terbesar dalam kem pembangkang, PKR sepatutnya segera berbuat sesuatu untuk merapatkan kem pembangkang berbanding memencilkan diri.
Tetapi parti itu kelihatan menyimpan kuku, selepas dinafikan oleh Tun dan dikhianati kem Datuk Seri Azmin Ali.
Dengan kemasukan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN), ini dijangka akan menguatkan pengaruh pakatan itu dalam kembali merebut kepercayaan pengundi Melayu.
Kekuatan ini sudah pun dibuktikan dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang memperlihatkan bagaimana kerjasama longgar MN pada permulaan akhirnya dipertingkat dan diperkukuhkan mampu mengalahkan PH dalam konteks undi Melayu.
Trend ini juga berterusan dalam PRK Slim Ogos lalu. Disebabkan itu, Amanah kini menjadi wakil tunggal parti Melayu-Islam dalam PH.
Cumanya, Amanah masih jauh untuk menyaingi pengaruh UMNO, Pas malah Bersatu dalam memancing undi orang Melayu.
Sebagai kelompok majoriti, undi orang Melayu amat signifikan dalam menjamin kemenangan sesebuah parti seperti yang PH pelajari ketika menyasarkan 30 peratus undi kelompok ini dengan menggempur kubu kuat Umno di kawasan Felda dan luar bandar.
Malangnya, masih belum ada perkembangan positif terhadap perkara ini. Kalau Pejuang boleh mengisi vakum itu, Tun Dr Mahathir mempunyai peluang untuk menarik DAP dan Amanah bersamanya sebagai pakatan pembangkang yang baharu, dengan Warisan sebagai gandingannya di Sabah. Ini berpotensi untuk merugikan PH dan PKR.
Sekiranya itu berlaku, adakah kepembangkangan di Malaysia akan kembali retorgresif setelah muncul dengan pakej yang progesif ketika dimulakan menerusi gerakan Reformasi 1998?
*Mujibu Abd Muis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan Kampus Seremban
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!