New Zealand paling Islamik?
“WOW, New Zealand negara paling Islamik? Malaysia?” Begitulah tercetus jeritan di hati saya apabila melihat senarai negara yang memenuhi tangga indikator Islamicity yang merujuk kepada negara-negara yang menghampiri atau mempunyai refleksi ajaran Islam dalam pengurusan negara dalam membentuk nilai dan institusi berintegiriti.
Ia berlaku beberapa hari lepas apabila saya melayari laman sesawang ‘Islamicity indices’ yang menyatakan tahap negara-negara yang memenuhi ajaran Islam ini dalam pentadbirannya. Dan seperti tahun 2018, New Zealand masih lagi di tangga teratas.
Lima tangga teratas juga tidak banyak berubah. Masih diungguli oleh negara bukan Islam iaitu Sweden, Iceland, Belanda dan Switzerland.
Negara ini dalam laporan tersebut menyatakan juga negara yang memenuhi refleksi ajaran Islam dalam memenuhi parameter tersebut.
Maka saya cuba membaca lagi apakah parameter yang diukur oleh badan itu. Pertamanya tercetus juga di hati saya, mungkin mereka yang di belakang ini bukan orang Islam dalam membuat penilaian itu.
Hasilnya saya mendapati mereka ini, orang Islam juga. Antara badan penasihat mereka ialah Dr Ali Allawi, Dr Abbas Mirakhor dan Dr Jomo Kwame Sundaram.
Maka kesimpulan saya lagi, tidak perlulah saya menelusuri latar belakang mereka ini memandangkan dalam pembacaan saya mereka semua orang yang hebat.
Selain itu mereka juga dibantu oleh lima individu Islam lain yang hebat-hebat juga dalam membuat penilaian. Seterusnya saya cuba membaca pula parameter yang diukur oleh badan itu.
Ada empat kategori parameter yang diukur. Dan yang menarik lagi parameter itu tidak melibatkan ritual peribadi seperti solat, zakat, haji dan lain-lain.
Tetapi melibatkan peluang ekonomi, undang-undang dan tadbir urus, hak-hak manusia dan politik serta hubungan antarabangsa.
Daripada ukuran parameter itu maka terbitlah indikator kedudukan tinggi atau rendah negara-negara dalam memenuhi refleksi ajaran Islam.
Untuk secara terperinci boleh melayari dan membaca laporan yang disediakan oleh badan tersebut.
Cuma saya tertarik juga apabila diberitahu dalam laporan tersebut kebanyakan negara Islam sendiri tidak dapat memenuhi ajaran Islam menurut lima parameter itu walaupun ada peningkatan pada tahun 2019 berbanding tahun 2018.
Malaysia sendiri ada peningkatan dari tangga ke 47 kepada tangga ke-45. Cuma seperti yang saya katakan pada awalnya, yang mengungguli carta itu bukanlah dari negara Islam.
Ekonomi
Yang menarik lagi dalam laporan tersebut, secara amnya ingin saya petik, antaranya ia berkait juga dengan ekonomi.
Katanya, dalam laporan tersebut, ada bukti yang dapat mengaitkan bahawa lebih tinggi tahap pendapatan, prestasinya akan lebih tinggi dalam menaikkan ranking tersebut.
Mungkin mereka itu akan mempunyai motivasi yang tinggi apabila pendapatan tinggi agaknya dalam memenuhi fitrah sebagai manusia itu sendiri.
Dan yang sememangnya tidak bercanggah dengan ajaran Islam jika mempunyai pendapatan yang tinggi.
Daripada 151 negara yang diukur, didapati juga negara bukan Islam lebih menonjol dan mempunyai prestasi bagus berbanding negara Islam itu sendiri dalam memenuhi saranan Islam menurut al-Quran dan Sunnah.
Dan negara Islam sendiri menduduki tangga ke bawah berbanding negara bukan Islam ini. Ini sebenarnya adalah satu cabaran juga kepada kita.
Mungkin kita boleh mengambil pengajaran juga dalam membuat penambahbaikan dalam memastikan kita sebagai orang Islam yang sepatutnya memenuhi saranan menurut al-Quran dan Sunnah itu.
Kelemahan yang dikenal pasti adalah dalam menguatkuasakan undang-undang, budaya rasuah berleluasa, dasar-dasar ekonomi yang tidak konsisten, peluang saksama untuk pembangunan individu dan pertumbuhan, ketidakadilan, ketiadaan kebebasan, hak asasi manusia dan politik adalah antaranya yang mencerminkan kelemahan negara Islam itu sendiri.
Laporan tersebut turut menyatakan negara yang mengaku Islam itu sendiri tidak mencerminkan ajaran al-Quran dan Sunnah.
Maka seperti kata Muhammad Abduh, seorang penulis Mesir yang mungkin kita boleh renungkan bersama-sama, “Aku ke barat dan melihat Islam, tapi tiada orang Islam dan aku kembali ke timur, melihat orang Islam tapi tiada Islam.”
*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bercerita, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!