Tak buta tapi rabun

No Image Caption
A
A
A

SEBETULNYA, artikel ini tidak sedikit pun berkait dengan individu kurang upaya, sebaliknya sebagai kiasan untuk panduan dan peringatan kita semua.

Secara umumnya kiasan ‘tak buta tapi rabun’ merujuk kepada dua perspektif utama iaitu; masih ramai ‘tak buta’ melihat keburukan orang lain, ‘tapi rabun’ melihat keburukan diri sendiri dan mereka ‘tak buta’ ilmu dan adab, ‘tapi rabun’ tentang keadilan dan kebenaran.

Pun begitu, kedua-dua perspektif tersebut adalah daripada sumber yang sama iaitu penyakit hati.

Sejujurnya sikap ‘tak buta tapi rabun’ semakin berleluasa kini. Semakin ramai yang celik keburukan orang lain sehinggakan perkara yang kecil diperbesarkan.

Bagi mereka, kesalahan seseorang itu akan diheret sampai rebah.

Walhal mereka sendiri pun pernah buat salah namun masih belum terbongkar. Berkaitan hal ini, jabatan netizen pun turut sama mengheret mereka yang bersalah sehingga longlai dibuatnya.

Akhirnya, jika tidak benar dan palsu hanya permohonan maaf dikeluarkan. Pada hemat saya, rendah sungguh nilai maaf tersebut jika begitu keadaannya.

Begitu juga dengan sikap menyembunyikan kebenaran dan tidak berlaku adil.

Artikel Berkaitan:

Walaupun mereka ‘tidak buta’ dari segi ilmu dan adab, namun kerana taksub, menjaga kepentingan kumpulan dan pertubuhan, mereka sanggup menggadaikan prinsip ilmu dan adab yang disanjung selama ini.

Mmereka juga ‘tak buta’ dari segi integriti dan profesionalisme, namun menjadi rabun kerana penangan nafsu yang tidak berkesudahan.

Hakikatnya, masih ramai yang tewas dengan penyakit hati. Apa yang nyata, penyakit itu merentasi semua manusia.

Kadangkala kita keliru dengan penampilan yang nampak mulia dan sifat begitu merendah diri sehinggakan tidak mengangkat tengkuk sewaktu berjalan dan berbicara.

Bagaimanapun, di belakang kita kebanyakan bicaranya adalah dusta dan wataknya pula amat jauh berbeza dengan penampilannya.

Pada masa sama, mereka berasa dirinya sudah hebat dan mulia sehingga lupa untuk bermuhasabah pada diri sendiri.

Berkaitan dengan hati, Dr Yusof Al-Qaradhawi telah memberi ulasan yang begitu bermakna dalam bukunya Kemanisan Iman, “Manusia tanpa hati samalah seperti batu yang pejal."

“Ini kerana hakikat insan yang sebenar bukanlah terletak pada balutan tanah yang mengandungi daging dan tulang, tetapi ia terletak pada unsur rohani dan sifat kasih sayang yang menyebabkan manusia mempunyai perasaan, berasa sakit, kasihan dan terpengaruh dengan sesuatu.

“Itulah hati yang hidup. Antara sifat keistimewaan mukmin adalah mempunyai hati yang hidup, lembut dan mengasihi orang lain.

Hatinya peka dengan kejadian menimpa orang lain, mengasihani orang yang lemah, berasa terseksa melihat orang bersedih, simpati terhadap orang miskin dan menghulurkan tangan kepada yang memerlukan pertolongan.

Menerusi hati yang hidup dan pengasih ini, seorang mukmin menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain”.

Jelaslah, selagi kita tidak ikhlas untuk bermuhasabah diri dan mengasihi orang lain, selagi itulah kita masih bersifat angkuh.

Daripada Amru Syu’aib, Nabi SAW bersabda, “Orang-orang yang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia. Mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru. Mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas. Di atas mereka ada api yang paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Rumusannya, segala perkara baik dan buruk yang kita lakukan adalah berpunca daripada kita dan akan memberi impak kepada kita akhirnya. Pendek kata, kita akan dapat apa yang kita beri. Oleh itu, celiklah akal dan hati untuk kemakmuran sejagat.

Semakin ramai yang celik keburukan orang lain sehinggakan perkara yang kecil telah diperbesarkan.”

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!