Luqman Hakim hanya fokus KV Kortrijk

Luqman Hakim kini boleh memberi komitmen sepenuhnya bersama kelab KV Kortrijk di Belgium. -Foto Facebook KV Kortrijk
Luqman Hakim kini boleh memberi komitmen sepenuhnya bersama kelab KV Kortrijk di Belgium. -Foto Facebook KV Kortrijk
A
A
A

PENANGGUHAN Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan membuka ruang buat penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin untuk lebih fokus bersama kelabnya, KV Kortrijk.

Perkara itu diakui sendiri oleh pengurus skuad B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang menyatakan Luqman Hakim tidak perlu lagi memikirkan mengenai komitmen kembali ke tanah air dalam masa terdekat.

“Luqman Hakim tidak perlu memikirkan tugasan dengan skuad B-19 negara dan dia boleh fokus kepada kelabnya di Belgium. Sudah tentu ini juga sesuatu yang baik untuk dia mendapatkan dan memperkemas rentak dalam pasukan untuk beraksi di sana.

“Saya sentiasa mendoakan dia memberikan yang terbaik untuk pasukan di Belgium dan kembali ke Malaysia memberi sumbangan yang bermakna buat skuad B-19 nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, AFC memutuskan untuk menunda Kejuaraan AFC B-16 dan Kejuaraan AFC B-19 yang masing-masing dijadualkan berlangsung di Bahrain dan Uzbekistan pada awal tahun depan berikutan penularan pandemik Covid-19.

“Kami akur dengan penangguhan kejohanan sehingga awal tahun depan. Apabila melibatkan kesihatan dan nyawa, ia adalah lebih penting demi kebaikan semua pihak serta pasukan yang bertanding. Ia satu langkah terbaik sehingga keadaan pandemik ini reda.

“Seperti kita semua sedia maklum, penangguhan ini tidak menyebut tarikh tepat bila akan disambung semula. Jadi agak sedikit sukar untuk pihak kejurulatih untuk merencana perancangan seterusnya.

“Tetapi apa sekalipun, kami tetap bersedia dengan pelan mempersiapkan pasukan untuk menghadapi kejohanan ini nanti sekiranya dilangsungkan pada awal tahun depan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Kamarul Ariffin turut mengesahkan Wan Kuzri Wan Kamal sudah pulang ke Amerika Syarikat selepas mendapat makluman rasmi mengenai penangguhan kejohanan tersebut.

“Kita ambil keputusan untuk dia pulang dulu ke Amerika Syarikat untuk dia memenuhi komitmennya bersama kelabnya di sana. Kita akan membuat perancangan bila untuk memanggilnya dan pemain lain kembali ke sesi latihan skuad B-19 negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!