Stor barang jenama tiruan diserbu

Swee Hon (tiga, kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan serbuan tiga buah stor.
Swee Hon (tiga, kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan serbuan tiga buah stor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) membongkar stor simpanan barangan tiruan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Khamis lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Low Swee Hon berkata, operasi kira-kira jam 12.30 tengah hari ini dijalankan hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, seramai tujuh anggota terlibat dalam serbuan membabitkan tiga buah stor menyimpan barangan disyaki tiruan ini.

"Kita terpaksa memotong pengunci stor terbabit sebelum berjaya masuk ke dalam premis.

"Pemeriksaan telah menyita sebanyak 5,295 unit barangan beg tangan dan dompet wanita dianggar bernilai RM527,700 yang kita percaya akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang," katanya dalam sidang media di pejabat KPNDHEP WPKL, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara jenama disyaki tiruan yang dirampas adalah Bonia, Louis Vuitton, Longchamp, Carlorino.

Katanya, susulan itu, pihaknya telah merekod keterangan seorang wanita merupakan pekerja premis selain seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik salah sebuah stor terbabit.

"Kita percaya barang ini dibawa masuk dari negara luar dan telah beroperasi sejak dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Dalam perkembangan lain, tahun lalu, nilai rampasan mencecah RM2.91 juta dengan 92 kes dicatatkan. Manakala pada tahun ini sahaja, lapan kes telah dihasilkan membabitkan sitaan barangan sebanyak 5,370 unit barangan bernilai RM545,823.

"Beberapa lokasi utama dikesan menjadi lokasi panas menjual barangan tiruan pelbagai jenama seperti Chanel, Nike, Gucci, Puma dan lain-lain antaranya di Bukit Bintang, Lorong Haji Taib dan Petaling Street," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!