Covid-19: Tiada arahan tutup pasar di Tawau

Ismail Sabri (kiri) membetulkan pingat perkhidmatan anggota kawalan kehormat sewaktu mengadakan lawatan ke Kem Sri Kinabatangan sempena lawatan kerja ke Sandakan hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kiri) membetulkan pingat perkhidmatan anggota kawalan kehormat sewaktu mengadakan lawatan ke Kem Sri Kinabatangan sempena lawatan kerja ke Sandakan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan pusat tidak pernah mengeluarkan arahan berhubung penutupan pasar malam, tamu mingguan, pasar borong, gerai buah dan gerai terbuka di Tawau.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa untuk menutup mana-mana lokaliti atau premis tanpa arahan daripada kerajaan pusat.

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang mengarahkan premis terbabit ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tawau.

"Ini (arahan tutup premis) tidak wajar dan hanya mengundang situasi panik dalam kalangan masyarakat di daerah itu.

"Ini salah, tidak boleh dilakukan kerana prosedur operasi standard (SOP) hanya boleh dikeluarkan oleh kerajaan pusat dan bukan PBT atau kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas melawat 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Kinabatangan di sini hari ini.

Beliau berkata, semua SOP yang dikeluarkan akan diwarta di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) iaitu di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Sekarang PKPD ikut lokaliti... Penjara Tawau dikenakan PKPD, tidak perlu tutup sekolah atau masjid atau pasar atau lain-lain di luar kawasan penjara itu," katanya.

Penjara Tawau dikenakan PKPD mulai tengah malam tadi hingga 25 September ini selepas kes positif koronavirus (Covid-19) di penjara itu melonjak ke tiga digit.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, MPT dilaporkan telah mengeluarkan notis penutupan pasar malam, tamu mingguan, pasar borong, gerai buah dan gerai terbuka di Tawau. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!