Bos Gaurus kembali ke landasan kemenangan

Shahrel Fikri meraikan jaringannya bersama pemain Perak lain semasa aksi CIMB Liga Super menentang UiTM di Ipoh malam tadi. - Foto: PerakTBG
Shahrel Fikri meraikan jaringannya bersama pemain Perak lain semasa aksi CIMB Liga Super menentang UiTM di Ipoh malam tadi. - Foto: PerakTBG
A
A
A

IPOH - Para pemain pasukan bola sepak Perak mengotakan janji untuk kembali ke landasan yang tepat selepas menewaskan UiTM FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak di sini, malam tadi.

Pengendali Perak, Mehmed Durakovic berkata, meskipun sekadar menang tipis namun aksi yang disajikan pemain wajar diberikan pujian dalam memastikan pasukan The Bos Gaurus berjaya mengutip tiga mata penuh.

"Daripada mula hingga tamat perlawanan pemain lakukan dengan baik, mereka berikan 100 peratus komitmen, semangat juang yang tinggi dan apa boleh saya katakan inilah pasukan saya yang sebenar.

"Saya tidak kisah sama ada mereka jaringkan satu, dua atau tiga gol. Paling penting perlawanan malam ini (semalam), kita berjaya mengutip mata penuh," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal Perak terhasil pada minit ketiga melalui penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang mencuri peluang menanduk cantik masuk bola sepakan percuma oleh rakan sepasukan Muhammad Rafiuddin Roddin.

Selain itu, Mehmed turut berharap momentum kemenangan ini akan terus dikekalkan oleh para pemain dalam mengharungi saingan liga yang hanya berbaki empat perlawanan lagi.

"Kita juga harap beberapa pemain yang masih lagi cedera terutama pemain import, Rai Anderson akan pulih segera untuk membantu pasukan," katanya.

Sementara itu, jurulatih UiTM FC, Frank Bernhadt berkata, kekalahan itu sedikit mengecewakan kerana pasukannya mempunyai deretan peluang untuk diterjemahkan sebagai jaringan gol terutama dalam separuh masa kedua.

Artikel Berkaitan:

"Gol awal yang dijaringkan oleh pemain tuan rumah itu tidak menganggu fokus para pemain... pada separuh masa kedua, kita mempunyai banyak peluang (gol) namun ia gagal disudahkan barisan serangan," katanya.

Beliau berkata, kekalahan itu akan dijadikan iktibar untuk kekal dalam saingan liga pada musim depan sepertimana sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!