Zurich serah sumbangan RM50,000 kepada UiTM

Nazrul (dua dari kanan) membuat gimik penyerahan replika cek kepada Rahmat (tiga dari kiri) di Bangunan Canselari di UiTM semalam.
Nazrul (dua dari kanan) membuat gimik penyerahan replika cek kepada Rahmat (tiga dari kiri) di Bangunan Canselari di UiTM semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Zurich General Takaful Malaysia Berhad (Zurich) menyerahkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi melaksanakan pembinaan sebuah bilik sumber Sains Aktuari.

Sumbangan yang diserahkan menerusi Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM itu adalah bagi pembangunan akademik dan pertumbuhan profesional penuntut serta tenaga pengajar di institusi pengajian berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich, Nazrul Hisham Abdul Hamid berkata, pihaknya berharap sumbangan itu dapat membantu UiTM dalam melahirkan aktuari-aktuari profesional dalam negara memandangkan bidang tersebut penting bagi membentuk sistem kewangan yang progresif dan inklusif.

“Bidang sains aktuari mendokong misi kami untuk mempertingkatkan kehidupan rakyat Malaysia dengan melindungi mereka, orang tersayang dan harta benda.

“Kami berbesar hati apabila diberi peluang untuk memenuhi visi UiTM untuk melahirkan tenaga kerja kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek replika sumbangan tersebut yang berlangsung di Bangunan Canselari UiTM semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Takaful Association (MTA), Azli Munani dan Dekan FSKM UiTM, Profesor Dr Haryati Haron.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Industri, Komuniti dan Rangkaian Alumni (ICAN) UiTM, Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad berkata, bagi menjadikan bilik sumber itu dilengkapi kemudahan canggih bertaraf dunia, proses pengubahsuaian akan dilaksanakan untuk membolehkan penuntut di institusi berkenaan menggunakannya secara berkesan.

“Tujuan utama pembiayaan pusat sumber ini adalah untuk memberikan koordinasi dan penyampaian perkhidmatan peperiksaan akademik yang lebih baik melalui pendekatan sistematik di semua peringkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, menerusi pelaksanaan penambahbaikan tersebut, pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan dan dimanfaatkan oleh penuntut di institusi berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!