Muktamar Pemuda Pas berlangsung hari ini
KOTA BHARU - Perwakilan Pemuda Pas dari seluruh negara mula membanjiri pekarangan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) sejak awal pagi tadi bagi mengikuti Muktamar Pemuda Pas yang berlangsung hari ini.
Perasmian Muktamar Pemuda Pas pada kali ini disempurnakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Antara pemimpin yang tiba awal pagi ialah Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang sempat meluangkan masa mengisi slot temu ramah bersama penganjur di luar dewan.
Selain itu, wakil-wakil sayap utama Perikatan Nasional antaranya dari MCA, MIC, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO turut hadir pada muktamar itu.
Muktamar kali ini yang diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Perwakilan yang hadir wajib menjalani pemeriksaan suhu badan di pintu pagar utama sebelum dibenarkan masuk ke pekarangan Putik.
Pemeriksaan kedua pula dilakukan di depan pintu utama dewan sebelum perwakilan dan hadirin dibenarkan mendaftar.
Barisan media juga diberikan meja khas bagi memudahkan liputan sepanjang program berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!