BN, PN, PBS tubuh Gabungan Rakyat Sabah
TUARAN - Gabungan parti disertai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu akan menjadi sebuah pasukan bagi membentuk kerajaan baharu di Sabah selepas PRN
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, GRS akan bekerja sebagai satu pasukan membentuk kekuatan baharu untuk membela rakyat dan memajukan Sabah.
"Semalam saya di Kota Kinabalu, kita telah duduk bersama parti-parti yang sudah sepakat berjuang untuk rakyat Sabah untuk dibela dan dimajukan.
"Justeru, saya nak umumkan sebuah gabungan yang dinamakan sebagai Gabungan Rakyat Sabah yang bersatu hati untuk bekerjasama membentuk kerajaan selepas 26 September nanti," katanya ketika berucap di pekarangan Pejabat Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tuaran di sini hari ini.
Hadir sama calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau turut meminta semua ahli parti di pelbagai peringkat supaya mengetepikan segala perselisihan faham dan membentuk semangat baharu untuk rakyat negeri ini.
"Kita perlu saling membantu antara satu sama lain, kita mesti bekerjasama dengan UMNO, PBS, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA.
"Sudah pasti gabungan ini sudah satu hati kerana tak mungkin boleh membentuk kerajaan jika PN sahaja menang. Jadi melalui GRS ini sajalah yang boleh membentuk kerajaan kuat di negeri Sabah.
"Apa tujuannya tidak lain tidak bukan supaya Sabah ini kita bangun lebih pesat lagi. Kalau Sabah dipimpin oleh gabungan ini tentu jauh lebih hebat berbanding Parti Warisan Sabah (Warisan)," katanya.
Katanya, tiada parti lain dapat menandingi gabungan itu selagi PN mentadbir kerajaan Pusat yang dipimpinnya.
Sehubungan itu, katanya Sabah juga mesti diperintah oleh kerajaan yang sama.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: Proses penamaan calon bermula
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!