Zakat Pulau Pinang sebar luas informasi zakat
BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 22 program diatur Zakat Pulau Pinang (ZPP) sempena pelancaran Bulan-bulan Zakat Negeri Pulau Pinang Tahun 2020 bertujuan menyantuni pembayar dan penerima zakat, selain meningkatkan kesedaran terhadap kewajipan menunaikan zakat dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, program yang akan dijalankan sehingga hujung tahun ini bertepatan dengan visi ZPP iaitu mengungguli usaha mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi ummah melalui sistem pengurusan zakat profesional dan berteknologi.
“Objektif penganjuran program Bulan-bulan Zakat ini menumpukan kepada beberapa aspek utama iaitu mempromosi dan menyebarluaskan informasi berkaitan kewajipan ibadah zakat selain pengurusan zakat secara profesional.
“Kita juga mahu meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat bahawa dana zakat yang diuruskan kami adalah sebagai pemerkasaan pembangunan sosioekonomi ummah di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut di Masjid Timah, Permatang Pauh di sini malam kelmarin.
Majlis yang dihadiri Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman
Menurutnya, ZPP juga berhasrat memastikan kefahaman dan pendedahan kepada umum mengenai pengurusan zakat secara digital ditingkatkan bersesuaian perubahan semasa dan perkembangan teknologi masa kini.
"Orang ramai boleh mengikuti semua platform digital dan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Telegram serta saluran YouTube ZPP untuk mengikuti semua perkembangan aktiviti akan dijalankan.
"Di platform media sosial juga sering dipaparkan aktiviti kutipan dan agihan bantuan zakat," katanya.
Sementara itu, Amran berkata, semua 22 program yang diadakan itu termasuklah pelancaran portal baharu ZPP, Khutbah Khas Zakat, Ziarah Asnaf, Talaqaah Zakat bersama Guru Takmir dan pelancaran Model Baharu Rumah Bantuan.
Selain itu, pihaknya juga akan menerbitkan buku Amanah Ummah Dijaga, Hak Asnaf Dibela, pelancaran Projek Peladang Nanas serta beberapa bual bicara menerusi media arus perdana termasuk kerjasama bersama Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!