Hanya media kerajaan dibenar berada dalam pusat penamaan calon
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memberi penjelasan berhubung dakwaan hanya media rasmi kerajaan dibenarkan membuat liputan di dalam pusat-pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu adalah satu langkah tidak demokratik dan melanggar semangat untuk melakukan reformasi pilihan raya.
"Saya difahamkan dari laporan sebuah portal bahawa pihak SPR mengarahkan hanya media rasmi Bernama, RTM - Radio Televisyen Malaysia, Jabatan Penerangan dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dibenarkan membuat liputan di dalam pusat-pusat penamaan calon bagi PRN Sabah. Semua media lain tidak dibenarkan.
"Ini adalah satu perkembangan yang mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku kerana pendaftaran awal semua pengamal media yang berminat membuat liputan di setiap pusat penamaan calon boleh dilakukan bagi mengawal jumlah yang hadir di mana-mana satu pusat penamaan calon," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Fahmi yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, SPR perlu segera memberi penjelasan serta jaminan akan memberi akses kepada media di pusat penamaan calon bagi proses penjumlahan dan pengumuman keputusan PRN Sabah pada 26hb September nanti.
PRN Sabah diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu, sehari selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!