McPhee, SuperKip catat keputusan berbeza
SESI latihan bebas pada Grand Prix (GP) San Marino menyaksikan dua pelumba Moto3 Petronas SRT John McPhee dan Khairul Idham Pawi masing-masing mencatatkan keputusan berbeza di Litar Misano, semalam.
Bagi McPhee yang menamatkan sesi latihan bebas itu pada kedudukan ketujuh menyifatkan litar berkenaan berada pada keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
McPhee yang mencatatkan masa (lap time) 1 min 43.128 saat pada sesi pagi dan 1 min 43.050 saat (sesi petang) bagaimanapun mengakui tidak sabar untuk memulakan perlumbaan sebenar, esok.
"Biarpun masih ada beberapa bonjolan di trek, tetapi bagi saya trek ini berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
"Pada sesi latihan bebas 1 dan 2 semalam saya lebih memfokuskan kepada caara mengambil selekoh (lap).
"Bagaimanapun masih ada ruang untuk memperbaiki tunggangan saya dan saya menyasarkan untuk berada dalam kelompok hadapan atau sekurang-kurangnya hampir dengan kelompok hadapan pada perlumbaan sebenar nanti," katanya.
Sementara itu rakan sepasukannya Khairul Idham Pawi yang disahkan boleh kembali berlumba setelah menjalani pembedahan jari tangan kanannya baru-baru ini, mengakui mula selesa dengan jenteranya.
Katanya, biarpun masih merasi kesakitan pada bahagian jarinya, tetapi ia tidak akan menjadi penghalang baginya untuk meneruskan perlumbaan dan dapat melakukan yang terbaik.
"Walaupun masih rasa sakit di jari saya, ia tidaklah begitu serius. Saya juga agak bergelut untuk memperbaiki lap time saya, tetapi ia tidak akan menghalang saya untuk terus berlumba.
"Kini saya rasa selesa dengan jentera saya dan ini membuatkan saya mahu meningkatkan lap time saya dan berada pada kedudukan terbaik pada perlumbaan nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!