Hajiji mahu teruskan pembangunan, jika dicalonkan KM Sabah

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

TUARAN - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor berikrar akan meneruskan usahanya untuk membangunkan kawasan itu dan Tuaran secara keseluruhan jika diberi kepercayaan rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah adalah penyandang kerusi DUN Sulaman selama enam penggal sejak 1990.

“Meskipun sudah lama saya di sini, tetapi masih banyak lagi yang saya mahu lakukan untuk membantu rakyat.

“Kita akan berusaha untuk memastikan bahawa sekiranya kita mengambil alih kerajaan, kita akan tumpu perkara yang diperlukan rakyat terutama di luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengemukakan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.

Ketika ditanya kemungkinan beliau dilantik sebagai Ketua Menteri jika gabungan PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang, Hajiji berkata, isu itu akan dibincangkan apabila tiba masanya.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai perkara ini (calon Ketua Menteri) tapi kita akan bincang kemudian dengan rakan-rakan lain dalam BN, PN dan Parti Bersatu Sabah nanti.

“Sudah pasti saya menerima cadangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencalonkan saya sebagai Ketua Menteri, namun itu bukan keutamaan saya ketika ini, apa yang lebih penting adalah memenangi pilihan raya terlebih dahulu,” katanya.

Pagi tadi, Muhyiddin ketika berucap di pekarangan Pejabat Perhubungan Bersatu Sabah Bahagian Tuaran mencalonkan Hajiji sebagai Ketua Menteri sekiranya mereka berjaya menumbangkan kerajaan Warisan Plus.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hajiji menyatakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diumumkan Muhyiddin dilihat sangat baik untuk ditawarkan kepada rakyat selepas kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) gagal mentadbir dengan baik kerajaan Sabah.

"Kita guna gabungan ini untuk memastikan masa depan Sabah dan rakyatnya terus dibela dan dibangunkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!