Pejuang kekal pendirian tidak tanding PRN Sabah
ALOR SETAR - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sekali lagi menegaskan parti itu tidak meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Presiden penajanya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Pejuang menyokong penuh Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya dalam PRN Sabah 26 September ini.
Menurutnya, kepimpinan parti tidak pernah merestui sekiranya terdapat individu mengaku bertanding PRN Sabah atas tiket Pejuang.
"Seperti yang saya umumkan sebelum ini, kami tidak letak calon di PRN Sabah.
"Urusetia penubuhan parti sudah buat keputusan, individu yang bertanding atas tiket Pejuang tidak mendapat restu kami sebagai calon Pejuang pada PRN tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, wakil Pejuang akan berkempen untuk calon-calon Warisan Plus di bawah kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal bagi menzahirkan sokongan itu.
Sebelum ini, Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahya berkata, ruang perlu diberikan kepada Ketua Menteri itu mempertahankan kerajaannya pada PRN ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!