Brek rosak, lori rempuh enam kenderaan
IPOH - Kegagalan brek berfungsi menyebabkan sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh enam kenderaan lain di atas jambatan Jalan Pasir Puteh, Lahat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, di sini hari ini.
Kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu berlaku apabila lori 10 tan muatan batu terbabit menuruni jambatan dalam perjalanan dari arah Lahat ke Station 18.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, enam kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori lima tan, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan empat kereta masing-masing Toyota Vios, Proton Wira dan Perodua Axia.
Bagaimanapun menurutnya, tiada mangsa yang tersepit dalam nahas itu, hanya tujuh mangsa iaitu pemandu dan kelindan lori serta lima yang menaiki kereta Toyota Vios mengalami cedera ringan.
"Kesemua mereka telah diberi rawatan awal oleh anggota yang tiba di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak hospital.
"Anggota kemudiannya membuat pembersihan jalan menggunakan habuk kayu disebabkan tumpahan minyak diesel," katanya.
Katanya, kemalangan menyebabkan laluan kedua-dua arah ditutup selama hampir lima jam bagi kerja-kerja pembersihan dan alih kenderaan.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.22 petang tadi sebelum laluan dibuka semula kepada kenderaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!