Polis mungkin tubuh pasukan khas kesan individu keluar PKPD Kota Setar
ALOR SETAR - Polis mungkin akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi mengesan penduduk yang keluar meninggalkan daerah Kota Setar sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuatkuasakan di daerah Kota Setar semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor berkata, buat masa ini pihaknya sedang memantau situasi dan jumlah kes positif wabak koronavirus (Covid-19) sebelum merealisasikan penubuhan pasukan khas berkenaan.
“Kita tengok dahulu sama ada individu yang keluar dari Kota Setar itu ada bawa jangkitan ke kawasan luar dari PKPD ini. Sekiranya ada, kita akan ambil tindakan terhadap individu itu kerana telah membahayakan orang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PKPD Pentadbiran dikuat kuasa di daerah Kota Setar mulai esok
PKPD: Tujuh sekatan jalan menghala ke Kota Setar
Tangguh semua aktiviti keagamaan di masjid, surau di Kota Setar
Justeru menurutnya, semua pihak diminta untuk kekal dalam kawasan selain mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Sementara itu, Nor Azman berkata, pihaknya telah menambah dua lagi sekatan jalan raya di laluan keluar dan masuk antara Kota Setar dan Jabi, Pokok Sena yang menjadikan jumlah keseluruhan sekatan jalan di kawasan PKPD ialah sembilan.
Katanya, buat masa ini, jumlah anggota yang bertugas adalah seramai 350 orang termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan permohonan penambahan anggota polis di kawasan itu telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
“Unit pemantau buat masa ini kekal 21 kerana kami kekurangan anggota. Dalam tempoh dua, tiga hari ini kita akan pantau laluan utama yang menghubungkan sempadan Kota Setar dan apabila sudah stabil kita akan tengok pula laluan mana yang masih lopong termasuk laluan tikus,” katanya.
Sehingga hari ini, polis mengadakan sembilan sekatan jalan yang melibatkan kawasan di hadapan Restoran Haji Ramli Simpang Empat; Jalan Batas Paip, Kuala Kedah; hadapan Balai Polis Alor Janggus; hadapan Balai Polis Kepala Batas; Jalan Hutan Kampung; Tol Alor Setar Utara; Tol Alor Setar Selatan; Jabi (Pokok Sena-Alor Setar) dan Jabi (Alor Setar-Pokok Sena).
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Dr Mohd Fikri Ujang yang dihubungi Bernama berkata, seramai 5,700 individu telah disaring pada hari pertama PKPD Kota Setar.
"Saringan yang dilakukan adalah secara bersasar. Jumlah individu yang akan disaring bergantung kepada bilangan kes positif yang dikesan iaitu kontak rapat kepada kes positif akan disaring termasuk kontak lain yang berpotensi untuk mendapat jangkitan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!