Yillson tidak gentar berdepan calon berpengalaman
KOTA KINABALU - Calon termuda yang ditampilkan Barisan Nasional (BN), Yillson Yanggun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada kali ini mengakui tidak gentar untuk bersaing dengan lima pencabar lain.
Yillson yang akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek berdepan dengan penyandang Datuk Anita Baranting yang bertanding atas tiket Bebas; calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Hendrus Anding dan calon Parti Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Padis Majingkin.
Selain itu, Yillson turut berdepan calon Parti Liberal Demokratik (LDP) Liensin @ Danny Leinsin Limpakan dan calon Parti Cinta Sabah (PCS) Andy Villson.
Yillson berusia 22 tahun berasal dari Kampung Marak Parak berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan kepujian (Sains Politik) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Saya mengakui masih baru dalam bidang politik, namun saya sama sekali tidak merasa takut untuk merebut kerusi DUN Tandek yang dibarisi oleh calon veteran yang lebih berpengalaman daripada saya.
“Saya juga yakin pencalonan ini merupakan satu peluang dan batu loncatan untuk saya membuktikan kredibiliti, kelebihan serta kebolehan belia bagi membarisi kepimpinan demi kemajuan kawasan ditandingi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: Proses penamaan calon bermula
Yillson menambah, meskipun masih muda namun beliau tidak akan menumpukan isu anak-anak muda sahaja, sebaliknya akan memberi tumpuan kepada pembangunan di kawasan itu khususnya bagi membawa perubahan yang diimpikan masyarakat setempat.
“Sekiranya diberi peluang, saya akan manfaatkan sepenuhnya dan menumpukan pembangunan fizikal, ekonomi, peluang pekerjaan, kebajikan dan sebagainya demi kesejahteraan dan kemajuan kawasan ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: LIVE: Penamaan Calon PRN Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!