KPDNHEP serbu premis buat pemindahan gas haram
BALAKONG - Sebuah premis di kawasan perindustrian Balakong di sini yang dikesan memindahkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke dalam tong gas LPG industri diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.
Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, seramai 11 pegawai dan anggota diketuai Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kajang, Mohamad Sani Mohammad Nor bertindak menyerbu premis terbabit pada jam 11 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan di premis terbabit menemui 242 unit tong LPG bersaiz 14 kilogram (kg), 236 unit tong LPG kosong bersaiz 14kg dan 39 tong LPG kosong bersaiz 50kg.
"Kesemua barang tersebut yang dianggar bernilai RM44,950.80 telah dirampas untuk siasatan lanjut.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1962 dan Peraturan 9(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, siasatan pihaknya mengesyaki premis tersebut dijadikan sebagai tempat untuk memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri.
"Kami kini sedang mengesan dalang dan individu yang terlibat dalam kegiatan haram itu.
"Kita akan bertindak tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!