PBS tambah tujuh kerusi, 16 kerusi bertembung dengan rakan sekutu
KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) menambah sebanyak tujuh lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 22 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ia susulan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang akhbar hari ini berhubung jumlah calon yang bertanding mengikut parti.
Kerusi yang ditandingi itu membabitkan DUN Moyog, Lumadan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan dan Tulid.
Dengan pertambahan itu menyebabkan 16 kerusi bertindih dengan parti sekutu mereka berbanding sebelum ini terdapat sekurang-kurangnya sembilan kerusi mengalami pertembungan.
Kerusi tambahan PBS yang bertindih dengan Perikatan Nasional (PN) adalah calon DUN Moyog, John Chryso Masabah bertembung dengan Joseph Sulaiman; calon DUN Paginatan, Arthur Sen bertembung dengan Datuk Abidin Madingkir; calon DUN Bingkor, Peter Jino Allion bertembung Robert Tawik; calon DUN Tulid, Suman Yasambun bertembung dengan Flovia Ng dan calon DUN Liawan, Datuk Daniel Kinsik bertembung dengan Annuar Ayub @ Banand.
Selain itu, calon DUN Lumadan, Ruslan Muharam juga bertembung dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamarlin Ombi dan calon DUN Tambunan, Silverius Bruno bertembung dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Semalam, Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Maleh mengumumkan secara rasmi 15 kerusi yang akan ditandingi PBS membabitkan DUN Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tamparuli, Kiulu, Inanam, Api-Api, Tanjung Aru, Kapayan, Limbahau, Kundasang, Melalap, Telupid dan Karamunting.
Dalam 15 kerusi itu, beberapa DUN didapati turut ditandingi oleh BN (DUN Bengkoka, Tanjung Aru, Telupid dan Malalap), PBRS (Matunggong, Tandek dan Kadamaian) dan MCA (Kapayan dan Karamunting).
Terdahulu, PBS adalah rakan sekutu dengan PN dan BN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!