Jangan hakis kebajikan anak
Banyak rakaman yang tular mengisahkan perebutan anak-anak disiarkan di media sosial dan arus perdana yang menunjukkan sikap ego serta baran kedua-dua pihak dalam menangani isu penjagaan dan lawatan anak.
Malah, acap kali kita membaca berita sedemikian disensasikan di dalam Mahkamah Syariah atau di luar mahkamah. Sering perebutan anak menjadi isu utama yang hangat diperkatakan. Anak-anak seolah-olah menjadi komoditi bagi ibu bapa yang bercerai atau pada ambang perceraian. Tidak kurang juga anak-anak dijadikan alat untuk membalas dendam antara satu sama lain.
Sebenarnya secara umumnya mengikut hukum syarak, sesiapa sahaja yang mendapat hak jagaan anak, pihak yang tidak mendapat hak jagaan berhak melawat anak-anak tersebut mengikut kesesuaian kerana kebajikan anak tersebut mendapat kasih sayang ibu bapa amat dipentingkan. Itulah sebabnya jika bapa tidak mendapat hak jagaan anaknya, bapa tersebut masih perlu membayar nafkah anak.
Sebagai seorang peguam syarie, saya telah melihat ramai bapa yang dipenjarakan oleh Mahkamah Syariah kerana gagal membayar nafkah anak, malah tidak kurang juga ibu yang dipenjara kerana enggan memberi hak kepada bapa menziarahi anak tanpa sebab yang munasabah.
Sepatutnya apabila suami dan isteri bercerai, hanya mereka yang bercerai. Hubungan anak dengan bapa atau ibu masih tidak putus. Oleh itu, jangan sesekali mencipta alasan dengan tujuan tidak membenarkan bapa atau ibu menziarahi dan merapatkan hubungan dengan anak-anak. Bawalah berbincang agar kebajikan anak dapat dibela walaupun ibu bapa bercerai.
Pasangan yang bercerai perlu menyediakan minda positif bagi menghadapi perceraian. Walaupun rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan, janganlah ada dendam antara mereka. Jika mereka benar-benar sayangkan anak-anak, maka berusahalah berbincang dan memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Walaupun sudah bercerai, mereka masih boleh menjadi kawan dengan menyantuni batas-batas yang telah ditetapkan hukum syarak.
Hukum syarak telah mengaturkan dengan baik hubungan ibu bapa dengan anak-anak selepas ibu bapa bercerai. Ibu pada lazimnya diberi keutamaan mendapat hak jagaan anak, manakala bapa masih menanggung nafkah anak. Dengan cara itu, hubungan akan berkekalan.
Namun, jika si ibu, misalnya, menghalang bapa menziarahi anak tanpa sebab munasabah atau mempengaruhi anak agar enggan berjumpa dengan bapa, sudah pasti bapa tersebut bertindak balas tidak mahu memberi nafkah kepada anak-anaknya. Akhirnya kebajikan anak itu dinafikan kerana kedegilan ibu bapa mereka.
Sebagai seorang peguam syarie, saya amat memahami penderitaan seorang wanita yang diceraikan, khususnya bagi mereka yang diceraikan tanpa sebab munasabah. Namun, wanita tersebut mempunyai remedi yang dibenarkan mengikut undang-undang untuk menuntut di Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, anak kecil yang kadang-kadang masih belum mumaiyiz tidak tahu hak mereka di sisi undang-undang. Mereka hanya bergantung harap kepada ihsan ibu bapa.
Sebagai ibu yang biasanya diberi hak jagaan anak dan bertanggungjawab membentuk peribadi mulia anak-anak, seharuslah ibu mengambil langkah bijak memberi perspektif yang positif kepada anak-anak terhadap perceraian yang dilalui mereka.
Saya perhatikan amat jarang perkara sebegini berlaku. Sering anak menjadi mangsa persengketaan ibu bapa.
Oleh itu, ibu bapa mesti berperanan memberi yang terbaik kepada anak-anak, bukan menjadikan anak sebagai alat membalas dendam. Bayangkanlah gambar atau video yang ditularkan itu disebar sehingga anak-anak membesar. Sudah pasti mereka berasa malu dengan masalah yang dihadapi itu dan boleh mendatangkan trauma.
Ingatlah, anak-anak merupakan pemimpin masa hadapan. Sekiranya sedari kecil mereka menghadapi pelbagai masalah, sudah pasti apabila besar kelak mereka tidak berupaya menjadi pemimpin yang baik, apatah lagi untuk mengharungi liku-liku hidup yang lebih mencabar pada masa hadapan.
Hukum syarak telah mengaturkan dengan baik hubungan ibu bapa dengan anak-anak selepas ibu bapa bercerai.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!