Cikgu Azmi rindu pesan ayah

Mohd Azmi (berdiri,kiri) bersama ibu bapanya ketika Majlis Konvokesyennya di UPM.
Mohd Azmi (berdiri,kiri) bersama ibu bapanya ketika Majlis Konvokesyennya di UPM.
A
A
A

SAAT melunjurkan kaki untuk merehatkan badan dan minda, satu perkara pasti terlintas dalam fikiran Mohd Azmi Abdul Hamid yang dikenali sebagai Cikgu Azmi.

Figura yang sering tampil dengan imej sederhananya memakai baju Melayu putih, berkain pelikat serta bersongkok tidak kira di mana beliau berada itu memberitahu, memori itu tidak pernah padam, malah terus mekar dan menjadi pembakar semangatnya sejak lebih 45 tahun lalu.

“Saya cukup rindu dengannya. Kata-katanya, suaranya masih terngiang-ngiang di telinga seolah-olah dia masih ada duduk di sebelah bercerita dan berkongsi segalanya tentang kehidupan,” katanya mengimbas kembali momen indah bersama bapanya, Allahyarham Abdul Hamid Baharuddin yang meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Mohd Azmi berkata, walaupun sudah 18 tahun bapanya kembali ke rahmatulah, segala kenangan serta nasihat yang dititipkan bapanya tidak pernah dilupakan, semuanya terpahat kukuh di hatinya.


Ibu, Hawa Mohammad (kanan) dan bapa, Abdul Hamid Baharuddin banyak memberi inspirasi dan panduan dalam kehidupan Mohd Azmi.
Ibu, Hawa Mohammad (kanan) dan bapa, Abdul Hamid Baharuddin banyak memberi inspirasi dan panduan dalam kehidupan Mohd Azmi.

Beliau berkata, kata-kata yang paling memberi impak kepada dirinya adalah apabila arwah bapanya yang merupakan seorang guru muzik sering memberitahunya bahawa muzik itu mampu mendidik manusia untuk menjadi lebih tertib (berdisiplin).

“Saya rasa aneh kerana orang lain tidak pernah kata begitu. Selalunya orang kata muzik ini hiburan untuk menyedapkan telinga. Tapi arwah ayah lain, pandangannya berbeza. Dia ajar saya bagaimana nak baca nota muzik, bagaimana seseorang harus memahami dan mengikut irama serta bait-bait lirik. Penelitiannya sangat halus,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tambahnya, menurut arwah ayahnya lagi, satu bunyian indah direka untuk mendisiplinkan seseorang. Jika bunyinya sumbang, maka pasti ada yang tidak kena atau tidak betul.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohd Azmi berkata, beliau dan tiga lagi adik-beradiknya juga diasuh dan digalakkan untuk banyak membaca sejak kecil.

Santai berdua

“Saya masih ingat, arwah ayah dulu sering menjaga perpustakaan. Setiap hari dia akan bawa balik sekotak buku untuk saya dan abang sulung baca.

“Ketika itu, kami perlu pilih buku yang kami suka baca dan berlumba siapa yang dapat habiskan dulu. Setelah selesai baca, ayah akan minta kami ceritakan tentang buku yang kami baca, apa yang kami faham dan mesej apa yang kami pelajari.

“Nampak biasa saja, tapi kerana buku-buku yang ayah bawa pulang telah menjadikan kami lebih berdisiplin dalam kehidupan serta gemar membaca sehingga ke hari ini,” katanya.

Mohd Azmi berkata, bapanya akan meluangkan masa setiap hari untuk berbual dan berinteraksi dengannya secara berdua. Menurutnya, bapanya akan meluangkan masa bercakap di rumah atau membawanya menaiki kereta ‘pusing-pusing’ kawasan sekitar rumah sambil bercerita.

Katanya, bapanya pernah mengajukan soalan kepadanya, bagaimana jika kamu sebagai bekas guru masih boleh berperanan sebagai pendidik?

“Arwah suka mengajak saya berbincang tentang apa erti pendidikan dan apa sebenarnya inti sari pendidikan sehingga seseorang dapat dibentuk wataknya.

“Dia juga banyak mengajar saya untuk berempati, maknanya kita merasai dan menjiwai kesusahan orang lain. Begitulah pendidikan sepatutnya berlaku,” kenang beliau.

Malah, ujarnya, pendidikan paling berkesan adalah apabila seseorang itu berbicara secara berdua. Ketika itu, akan berlaku pemindahan ilmu di mana orang yang menerima boleh memberi perhatian kepada apa yang disampaikan dan akan memberi reaksi terus terhadap apa yang didengarnya.

Kenangan....gambar ahli keluarga Mohd Azmi bermain gitar dan piano bersama
Kenangan....gambar ahli keluarga Mohd Azmi bermain gitar dan piano bersama

“Pesan ayah, jika saya bukan lagi seorang guru tapi tetap mahu mendidik, gunalah pendekatan tersebut. Malah, konsep yang sama ayah terapkan apabila berinteraksi berdua dengan saya dan inilah pendidikan yang saya tidak dapat di sekolah.

“Apabila dia bercakap, terasa benar erti mendidik itu, seolah-olah hati dan pemikiran kami saling berinteraksi,” katanya.

Mohd Azmi pernah bergelar guru selama hampir sembilan tahun, namun beliau tekad berhenti kerana mahu menumpukan perhatian kepada kerja-kerja sukarelawan termasuk misi kemanusiaan di Palestin dan negara bergolak lain.

Beliau berkata, keputusannya itu mendapat restu ibu bapa terutama bapanya yang banyak memberi pesanan agar dia terus istiqamah dengan jalan yang dipilihnya.

“Pesan ayah, bantulah orang lain, berkhidmat sepenuh hati tanpa memikirkan habuan atau imbuhan. Tambahnya, saya perlu bersedia kerana akan mula dirujuk dan dipupuk oleh orang ramai termasuk dari luar negara. Jadi, saya perlu sentiasa bertahan,” cerita Mohd Azmi.

PROFIL

Mohd Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi

Umur: 62 tahun

Tempat lahir: Kuala Terengganu, Terengganu

Adik-beradik: Anak kedua daripada empat beradik

Isteri: Masadah Sajadi, 64

Anak: Salman Siddiqiy, 36, Imanul Kaamil, 34, Nur Raihan Fadhlina, 32, Ilham Syatirah, 31, Muhammad Nuruddin Fitri, 27, Muhamad Ikhwan Solehin, 26, dan Nur Sakinah Hanani, 23

Hobi: Membaca buku dan menulis perkara berkaitan isu kemasyarakatan serta nasib umat Islam di negara yang bergolak

Pendidikan: Diploma Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan dan Pengembangan Pertanian (UPM)

Sarjana Pengurusan Latihan (UPM)

Kerjaya:

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara

Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Ahli Majlis Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!