PKR fokus kempen guna media sosial
KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan media sosial untuk berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi mengurangkan risiko penularan koronavirus (Covid-19).
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, ia susulan kebimbangan peningkatan kes dicatatkan kebelakangan ini namun kempen turun padang tetap diteruskan dengan program dihadkan.
"Kempen tradisi (turun padang) masih berjalan cuma dikurangkan, contohnya kita tak boleh nak buat ceramah mega seperti kebiasaan.
"Dalam keadaan Covid-19 ini, mana-mana parti politik perlu guna kaedah baharu yang bersesuaian dengan norma baharu," kepada Sinar Harian di pejabatnya di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya berpandangan PRN mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) tidak sesuai diadakan dalam keadaan Covid-19 sekarang namun keadaan itu tidak dapat dielakkan.
"Pada awalnya PKR tidak turut serta (dalam PRN), tapi apabila keadaan terdesak dan didesak oleh gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Sabah maka keadaannya berbeza.
"Sepatutnya kerajaan Sabah dikekalkan namun tergugat selepas timbul isu dakwaan tawaran dan imbuhan menyebabkan PRN tidak dapat elakkan," katanya.
Tambah Fahmi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan tidak boleh pandang remeh bagi mengelak kluster PRN.
Disebabkan itu, Ahli Lembah Pantai itu meminta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menggunakan cara baharu bagi mengelak warga Sabah yang bekerja di Semenanjung dapat mengundi tanpa merentas negeri.
"Sepatutnya SPR boleh usahakan pengundi dari luar Sabah boleh buat undi pos, tapi itu tidak dapat dilaksanakan untuk masa terdekat ini.
"Saya berharap perkara itu dapat diteliti untuk keperluan pada masa akan datang," katanya yang menyasarkan 70 hingga 75 peratus rakyat Sabah keluar mengundi.
SPR menetapkan 26 September ini untuk PRN Sabah dengan penamaan calon dijalankan hari ini, manakala undi awal pada 22 September.
Sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan manakala 741 pusat mengundi membabitkan 2,540 tempat mengundi (saluran) dan 56 pusat mengundi awal membabitkan ramai 30,540 petugas yang akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya berkenaan.
PKR bertanding tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terdiri DUN Api-Api dengan calonnya Datuk Christina Liew, Inanam (Peto Galim), Tempasuk (Mustapha Sakmud), Tamparuli (Alijus Sipli), Matunggong (Sazalye Donol Abdullah), Klias (Abdul Rahman Md Yakub) dan Sook (Raymond Ahuar).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!