Bapa maut dipukul anak guna botol kaca
IPOH - Seorang warga emas mati dipercayai akibat dipukul menggunakan botol kaca oleh anak lelakinya dalam satu pergaduhan di sebuah kedai runcit bersebelahan Pasar Gunung Rapat di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa, Pang Ket Tai, 75, ditemui mati dengan kesan kecederaan di muka, leher dan kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, kejadian itu berlaku di bahagian stor kedai berkenaan yang diusahakan dua beranak berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa bersama anaknya berusia 49 tahun itu telah bertengkar.
"Polis yang menerima makluman segera ke lokasi, namun menemui mangsa terbaring dengan kesan cedera, anaknya pula berada di sebelah mangsa.
"Daripada siasatan, kita tidak menolak kemungkinan kecederaan mangsa akibat dipukul oleh anaknya sendiri menggunakan objek disyaki botol kaca," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, tangkapan telah dilakukan ke atas anak mangsa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, daripada keterangan adik kandung, suspek kurang siuman sejak 20 tahun lalu dan sedang menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta.
"Motif sebenar kejadian masih belum diketahui setakat ini, namun kita percaya ia berpunca daripada pergaduhan.
"Suspek dikatakan selalu dimarahi oleh bapanya kerana tidak mendengar kata," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!