Isnin mahu DUN Klias sifar miskin tegar

Calon PN bagi DUN Klias, Datuk Isnin Aliasneh (empat dari kanan) bertemu penyokong di sekitar kedai berhampiran Dewan Sri Panglima Hj Mohd Dun Banir, Beaufort Selepas selesai proses penamaan calon PRN Sabah semalam.
Calon PN bagi DUN Klias, Datuk Isnin Aliasneh (empat dari kanan) bertemu penyokong di sekitar kedai berhampiran Dewan Sri Panglima Hj Mohd Dun Banir, Beaufort Selepas selesai proses penamaan calon PRN Sabah semalam.
A
A
A

BEAUFORT - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Datuk Isnin Aliasneh mahu kawasan itu mencatat sifar miskin tegar yang bakal menjadi agendanya jika berjaya mempertahankan semula kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Beliau yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) berkata, bagi meneruskan agenda itu, mandat harus dikembalikan kerana selama lapan bulan menjadi wakil rakyat pembangkang, banyak yang tidak dapat dilaksanakan sebelum ini.

"Mujur sebaik kita menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), baru ada masuk suntikan dana daripada kerajaan dan barulah kita dapat merancang, tetapi itu pun tidak sampai setahun sehingga DUN dibubarkan.

"Jadi agenda saya kali ini adalah pembangunan untuk rakyat Klias yang masih belum dinikmati penduduk Klias, banyak perlu kita baiki dari segi infrastruktur dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Isnin berkata, agendanya itu akan dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri selari dengan kerajaan Pusat yang kini dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita perlu ikut kerajaan Pusat, kalau tidak ikut dan menjadi wakil rakyat pembangkang memang kita sukar untuk bangunkan kawasan kita.

"Saya mahu rakyat di Klias sifar daripada miskin tegar. Tetapi caranya bukan bagi mereka pancing, bukan berikan mereka ikan, kita berikan mereka cara atau jalan bagaimana untuk keluar daripada kemiskinan.

"Jadi sebab itu, kita perlukan bantuan daripada kerajaan supaya dapat membantu rakyat di kawasan ini untuk terus membangun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, DUN Klias menyaksikan pertembungan enam penjuru apabila Isnin sebagai penyandang ditentang oleh lima calon dari Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Bersatu (USNO), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!