AMU beri RM50,000 anugerah bursari
JOHOR BAHRU - Sejak tiga kes pertama koronavirus (Covid-19) di Malaysia disahkan pada 24 Januari 2020 dan dua kematian pertama pada 17 Mac lalu serta rekod pada 4 September lalu mencatatkan sebanyak 9,385 kes dengan 128 kematian, ternyata pandemik berkenaan masih belum ‘berlalu’ sepenuhnya.
Bagi menghadapi keadaan sukar itu, barisan petugas hadapan terutama doktor, jururawat dan semua kakitangan hospital memainkan peranan yang sangat penting.
Sehubungan itu, Universiti Asia Metropolitan (AMU) menyokong penuh usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani pandemik Covid-19 dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menjaga kebajikan penuntut untuk meneruskan pengajian mereka.
Naib Canselor AMU, Profesor Dr Mohamad Khan Jamal Khan berkata, pihaknya juga tidak terkecuali tampil menghulurkan bantuan dengan memilih memberikan sebanyak RM50,000 anugerah bursari untuk setiap penuntut yang berjaya mendapat tempat bagi program perubatan.
“Kita bukan sahaja dapat membantu penuntut yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, malah dapat melahirkan lebih ramai graduan perubatan bagi meningkatkan tenaga kerja pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di AMU diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan mendapat akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Katanya, AMU turut memastikan pengajian penuntut terjaga dan mudah dengan penempatan klinikal dalam negeri yang sama di Johor.
“Penuntut dapat mengurangkan kos bagi penempatan klinikal yang rata-rata memerlukan mereka berulang-alik dengan jarak yang jauh,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, program MBBS turut tersenarai dalam Direktori Sekolah-sekolah Perubatan Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh Majlis Perubatan India (MCI), Majlis Perubatan dan Pergigian Maldives (MMDC) serta Majlis Perubatan dan Pergigian Bangladesh (BMDC).
“Pengalaman industri adalah satu komponen yang sangat penting dan dengan pakar-pakar yang ada, kami yakin graduan perubatan AMU dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.” katanya.
Dr Mohamad Khan berkata, pihaknya sangat berbangga dengan graduan perubatan AMU yang mengekalkan kadar kelulusan penempatan KKM sebanyak 100 peratus di setiap putaran hospital mereka, sekali gus membuktikan struktur pengajian perubatan di AMU memenuhi kehendak industri serta KKM.
Dalam pada itu, beliau berkata, AMU akan menganjurkan Minggu Terbuka di Kampus Johor Bahru pada 11 sehingga 27 September ini bagi memberi peluang kepada orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai program ditawarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!