86,000 penduduk terima bantuan Bank Makanan
ISKANDAR PUTERI - Program Bank Makanan di negeri ini diperluaskan berikutan kesukaran masyarakat yang berdepan cabaran koronavirus (Covid- 19) termasuk ada yang diberhentikan kerja.
Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full berkata, sehingga Jun tahun ini, seramai 86,000 penduduk menerima bantuan tersebut.
"Program berkenaan mulanya bertujuan membekalkan makanan keperluan harian kepada golongan B40 termasuk penerima bantuan e-kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kini, peniaga kecil yang tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menerima manfaat selain individu berhenti kerja kerana sektor pelancongan, perhotelan, pembinaan, perniagaan tidak dapat beroperasi ketika PKP," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Penawar-PN) berkenaan kriteria dan kaedah pelaksanaan Program Bank Makanan di negeri Johor pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14.
Fat Full berkata, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Program Bank Makanan ini, kerajaan negeri menggariskan beberapa pendekatan supaya lebih berstruktur dan strategik.
"Oleh kerana dalam tempoh PKP rakyat dikehendaki mematuhi perintah kawalan, maka kerajaan menetapkan pejabat daerah sebagai pusat pengumpulan barangan bantuan.
"Kerajaan negeri tidak menafikan bahawa pada awal PKP dan pelaksanaan bantuan Bank Makanan ini, timbul pelbagai aduan mengenai perkara ini.
"Bantuan ini adalah bantuan segera yang disalurkan kerajaan negeri kepada rakyat terjejas akibat Covid - 19, jadi kelemahan dalam penyampaian bantuan ini diperbaiki dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!