Calon PBS tak gentar pertarungan 11 penjuru
KOTA KINABALU - Walaupun berdepan dengan 10 calon lain bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka yang menyaksikan pertandingan 11 penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, namun rata-rata barisan calon tidak gentar situasi itu.
Calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Samuil Mopun yakin akan berjaya menambat hati pengundi dan seterusnya memenangi kerusi di DUN Bengkoka serta menumbangkan kerajaan Warisan Plus.
Menurutnya, beliau yakin akan berjaya memenangi hati rakyat berbanding calon lain yang dilihat tidak memperjuangkan apa yang rakyat di kawasan itu mahu.
"Sesuai dengan manifesto PBS di mana parti ini sangat konsisten untuk memperjuangkan hak-hak Sabah dan PBS juga bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang mana sekarang menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan.
"PBS sentiasa komited menumbangkan kerajaan Warisan Plus kerana kerajaan ini tidak dapat menyelesaikan isu dan hak-hak rakyat di Bengkoka dan juga kepentingan rakyat Sabah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, walaupun berhadapan dengan calon parti sekutu iaitu Barisan Nasional (BN), namun ia tetap memberi kelebihan kepadanya kerana penyokong BN di Bengkoka dilihat sudah beralih kepada kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Pertembungan ini memang tidak dapat dielakkan walaupun sudah ada persefahaman, tetapi saya percaya 90 peratus ahli UMNO sudah beralih ke Bersatu dan sudah pasti mereka akan membantu saya sebagai calon PBS sebagai satu kerjasama parti.
"Sebab itu, saya yakin ia adalah salah satu strategi yang diperkemas atau kita selaraskan dengan Bersatu, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan sekutu lain," katanya.
Bagi calon lain pula, Samuil berkata, kehadiran calon bertanding atas tiket bebas dan parti yang baharu dikenali seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) dan sebagainya itu bukanlah perjuangan asal calon.
"Mereka ini terutama yang menjadi calon bebas hanya mahu melampiaskan kekecewaan mereka kerana tidak terpilih sebagai calon dalam parti asal masing-masing.
"Bagi calon daripada parti PCS dan lain-lain mereka pula belum ada asas yang kuat dari akar umbi untuk di kawasan Bengkoka sedangkan PBS sejak pilihan raya lalu sudah membantu BN untuk memenangkan calon mereka sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara, Kampus Sabah, Cawangan Kota Kinabalu, Tony Paridi Bagang berkata, secara demokrasinya pertandingan banyak penjuru ini membuktikan bahawa demokrasi sangat subur di negara ini.
"Namun ia boleh diterjemahkan dalam beberapa aspek iaitu ini membuktikan wujudnya blok politik yang ketiga selain Warisan Plus, BN-PN serta sekutu.
"Contohnya PCS dan Parti Liberal Demokratik (LDP) jelas ia juga memberi pilihan kepada pengundi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!