Empat manfaat menanti golongan B40
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Skim Peduli Kesihatan untuk golongan B40 (Peka B40) yang akan dilaksanakan pada Mac 2019 dengan peruntukan permulaan, RM100 juta.
Peka B40 meliputi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan yang berumur 50 tahun ke atas akan layak menyertai skim ini secara automatik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebagai perintis,Peka B40 dapat menampung seramai 800,000 penerima.
"Peka B40 akan memberi penekanan kepada pengesanan awal penyakit yang tidak berjangkit," katanya.
Menurutnya, empat manfaat dalam skim ini adalah saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan inisiatif tambang pengangkutan.
Dzulkefly berkata, KKM akan bekerjasama dengan klinik dan makmal swasta yang berminat untuk menjalankan saringan kesihatan Peka B40.
"Saringan kesihatan boleh dilakukan bermula Mac di klinik-klinik terlibat tanpa dikenakan sebarang yuran," katanya.
Menurutnya, Peka B40 yang dirancang KKM untuk memberi nilai tambah dan pelengkap kepada perkhidmatan sedia ada di kementerian itu.
"Ia tidak menjejaskan perkhidmatan klinik dan hospital KKM," katanya.
Peka B40 diuruskan oleh ProtectHealth Corporation (PH Corp) Sdn Bhd yang merupakan syarikat 100 peratus milik kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!