Tragedi berdarah awal pagi
KUANTAN - Seorang pemandu maut manakala penumpangnya cedera selepas kereta dinaiki terbabas melanggar besi penghadang di Jalan Kuantan- Pekan berhampiran Pusat Latihan Pertanian Inderapura di sini, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa Mas Shahrul Masri, 36 beralamat dari Felda Lepar Utara 3, Jerantut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Penumpangnya, Nurul Najihah Muhamad, 21 dari Felda Lepar Utara 2, dilaporkan cedera dengan kesan luka di anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kereta dipandu mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke Kuantan.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Viva dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan dan melanggar bucu besi penghadang pembahagi jalan.
“Pekerja kilang itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang wanita yang juga penuntut sebuah politeknik di sini, cedera.
“Mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat,” katanya.
Kamarulzaman berkata, penumpang yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!