Dua sahabat seronok belajar buat Sigar
KIULU - Walaupun pada mulanya hanya suka-suka untuk menyertai kursus, namun seorang murid Tahun Enam di salah sebuah sekolah di sini mengakui seronok dapat mempelajari cara membuat sigar yang terkenal dalam kalangan etnik suku kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) di Sabah.
Mohd Aisar Lusrey,12, berkata, proses membuat sigar atau tengkolok itu dilihat sukar kerana perlu penelitian yang baik namun aktiviti itu memberi keseronokan kepadanya.
“Saya sebenarnya tidak pernah menyertai kursus membuat sigar ataupun kursus lain dan ini hanyalah ajakan daripada kawan kerana mereka mengatakan membuat sigar ini akan memberi keseronokan untuk si pembuat.
“Ternyata selepas saya menyertai kursus ini, saya mahu menyertai lagi kursus lain pada masa akan datang kerana banyak lagi yang perlu saya pelajari,” katanya ketika ditemui pada Program Khidmat Masyarakat Kursus Membuat Sigar di Kampung Rangalau Lama di sini semalam.
Program ini merupakan program khidmat masyarakat anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pengajian Sultan Idris (UPSI) Perak.
Perkara sama turut diakui rakannya, Airre Amat,13, apabila aktiviti kursus itu berupaya memberi ilmu pengetahuan baharu bagi menghasilkan barangan tradisional kaum KDM di Sabah.
“Saya sudah beberapa kali menyertai kursus ini dan kali ini saya akan memberi tumpuan serius untuk menjahit sigar yang mana mungkin boleh menjana pendapatan kami,” katanya.
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga calon mewakili Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Sementara itu, Madius ketika berucap merasmikan program itu berkata, kelestarian budaya boleh menjadi pemangkin dalam usaha menjana pendapatan rakyat khususnya dalam pembikinan peralatan tradisional.
“Bagi meningkatkan sumber ekonomi, fokus harus diberikan kepada penghasilan produk tempatan dan kerajaan negeri melihat bidang ini mampu menjana pendapatan rakyat.
“Kerajaan negeri juga melihat usaha ini secara menyeluruh dan berterusan bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sigar yang diperbuat daripada kain tenunan berharga lebih RM600 setiap satu, manakala yang diperbuat daripada kain sarung bermotifkan corak Borneo, peralatan menjahit, lace/renda emas dan kertas pengeras hanya memerlukan kos kurang daripada RM50 setiap satu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!