Public Bank anjur klinik bantuan pembayaran
PUBLIC Bank akan mengadakan Klinik Bantuan Pembayaran Balik di bandar utama di seluruh negara pada setiap Sabtu dan Ahad selama enam minggu mulai 19 September ini.
Pada program itu, pelanggan akan diberikan memberi khidmat nasihat dan bantuan untuk memohon bantuan lanjut selepas tamatnya moratorium selama enam bulan pada 30 September ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, pelanggan perlu mendaftar terlebih dahulu untuk menyertai klinik berkenaan dan program itu merupakan sebahagian dari langkah bantuan yang disediakan oleh Public Bank.
Menurutnya, Public Bank menyediakan pakej bantuan pembayaran balik yang bersesuaian dengan situasi kewangan pelanggan yang pelbagai dan amat proaktif dalam libat urus dengan pelanggan berkaitan langkah-langkah bantuan.
"Selain platform digital yang membolehkan pelanggan untuk mengemukakan permohonan dalam talian, kami akan menganjurkan klinik bantuan pembayaran balik hujung minggu sebagai saluran tambahan untuk pelanggan yang memerlukan bantuan lanjut. Program ini juga memudahkan pelanggan yang tidak dapat mengunjungi cawangan kami pada hari biasa," katanya dalam satu kenyataan.
Untuk pelanggan yang ingin mengemukakan permohonan dalam talian bagi pelan pembayaran balik mereka boleh terus memohon melalui platform digital Public Bank melalui laman web Bank di https://apply.pbebank.com/pbrnr.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!