PDRM nafi tular pegawainya mangsa pembunuhan kejam

Rakaman menunjukkan seorang wanita dibunuh secara kejam sebenarnya dilaporkan berlaku di Brazil.
Rakaman menunjukkan seorang wanita dibunuh secara kejam sebenarnya dilaporkan berlaku di Brazil.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pegawainya terlibat dalam pembunuhan kejam seperti yang didakwa menerusi gambar dan video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Difahamkan, pegawai wanita berpangkat Asisten Superintendan itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pegawai wanita itu telah membuat satu laporan polis di Shah Alam.

"Kejadian itu tidak benar dan pegawai itu sudah pun membuat laporan berkenaan perkara tersebut.

"Semakan juga mendapati pembunuhan kejam itu berlaku di Brazil bukan di sini (Malaysia)," katanya.

Katanya, siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, rakaman video seorang wanita diikat tangan serta kakinya dan dibunuh secara kejam tular di media sosial.

Turut tular adalah gambar pegawai wanita berkenaan kononnya pegawai itu adalah mangsa kejadian bunuh.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!