PN didakwa tiada rekod daftar parti
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan Malaysia mendakwa tidak ada rekod pendaftaran parti Perikatan Nasional (PN) ditemui hasil semakan yang dibuat melalui laman sesawang Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, beliau sendiri telah membuat semakan itu dan setakat jam 2.22 pagi hari ini tiada rekod berkaitan berjaya dipaparkan.
Menurutnya, semakan seterusnya ke atas nama 'Perikatan Nasional' atau 'Prikatan Nasional' turut tidak menemui sebarang rekod daftar.
Katanya, melalui makluman media, kononnya permohonan untuk pendaftaran parti PN telah dihantar sebelum atau pada 20 Ogos 2020.
"Justeru itu, saya menggesa ROS untuk memberikan pencerahan apakah status pendaftaran parti PN.
"Jika benar parti PN masih gagal didaftarkan bererti semua calon-calon yang masuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini di atas bendera PN haruslah dibatalkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Syed Badli Shah turut menggesa ROS untuk mendedahkan status pendaftaran parti PN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!