Amanah lulus peletakan jawatan Husam
SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) meluluskan permohonan Datuk Husam Musa untuk melepaskan jawatan naib presiden parti itu menerusi mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional Amanah pada 6 September lalu.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad berkata, permohonan peletakan jawatan itu adalah untuk membolehkan Husam memberikan tumpuan kepada usaha memenangi kerusi untuk Amanah di Kelantan, khasnya di kawasan Parlimen Kota Bharu yang beliau ketuai.
"Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, Jawatankuasa Nasional Amanah telah mengambil keputusan untuk meminta beliau berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro Amanah dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Tiga biro ini adalah Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi. Kertas cadangan berhubung peranan baharu sedang disediakan untuk persetujuannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, portal The Malaysian Insight melaporkan Husam melepaskan jawatan sebagai naib presiden Amanah dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan sebagai tanda protes terhadap kepimpinan presiden parti, Mohamad Sabu.
Beberapa sumber dalaman parti memberitahu, Husam menyerahkan surat peletakan jawatannya dua minggu lalu.
Mengulas lanjut, Khalid menegaskan bahawa apa jua gambaran bahawa Husam meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan presiden parti atau mana-mana pimpinan Amanah adalah tidak berasas.
ARTIKEL BERKAITAN: Husam nafi lepas jawatan kerana Mat Sabu
"Sebaliknya ia dilakukan demi melonjak dan mengukuhkan lagi kedudukan Amanah di Kelantan, khususnya di Kota Bharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!