JPJ kaji undang-undang aktiviti berbasikal atas jalan raya
IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mengkaji untuk menyelaraskan semula penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti berbasikal di jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kajian itu akan melibatkan polis dan agensi penguat kuasa lain agar tindakan lebih tegas dapat diambil memandangkan berlaku peningkatan aktiviti berbasikal di jalan raya termasuk basikal lajak.
Menurutnya, pada masa ini, JPJ tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pengguna basikal melainkan memberi advokasi dan pendidikan.
"Basikal dalam konteks undang-undang adalah kenderaan off-road yang tidak dikenakan cukai jalan, jadi bila tidak ada cukai, tidak ada isu untuk kita kuatkuasakan undang-undang, kita tidak boleh saman mereka kerana definisi basikal itu sendiri bukan termaktub dalam akta JPJ.
"Bagaimanapun dalam keadaan sekarang, terlampau banyak aktiviti berbasikal termasuk basikal lajak.
"Dalam hal ini, kita sedang kaji dan bekerjasama dengan penguat kuasa lain termasuk polis untuk selaraskan keadaan itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Kawalan Penguatkuasa Lebuhraya (Unit Penguatkuasa Lebuhraya) di bangunan Plaza Tol Lama Jelapang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan berani segelintir peminat aktiviti berbasikal yang sanggup menggunakan jalan termasuk lebuh raya sebagai trek laluan mereka.
Tindakan itu dikatakan bukan hanya mengundang bahaya kepada mereka malah berisiko kepada pengguna lain yang terpaksa mengelak dari melanggar penunggang basikal ini.
Shaharuddin berkata, aspek pengurusan kenderaan basikal ini adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menyediakan laluan-laluan basikal yang bersesuaian di kawasan seliaan masing-masing.
"Ia bukan jenis kenderaan yang dikuatkuasakan oleh JPJ, tetapi untuk pengurusan, PBT bertanggungjawab melihat di mana lorong-lorong basikal yang patut ada," katanya.
Terdahulu, Shaharuddin bersama Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Timbalan Pengarah Penguatkuasa Operasi JPJ, Mohamat Johari Mat Nor dengan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi bagi memperkukuh kerjasama strategik melibatkan operasi dan pelaksanaan penguatkuasaan untuk meningkatkan aspek keselamatan di lebuh raya PLUS.
Pusat Kawalan Penguat kuasa Lebuhraya JPJ ini adalah yang pertama di Malaysia selepas pembukaan empat stesen untuk Unit Penguat kuasa Lebuhraya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) iaitu di Paka, Dengkil, Gunung Semanggol dan Pagoh masing-masing arah selatan, secara berperingkat sejak 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!