PKR cabar Muhyiddin buktikan status pendaftaran PN
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menunjukkan bukti kelulusan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada umum.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia susulan kenyataan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman berhubung ketiadaan maklumat pendaftaran Parti PN di dalam rekod di laman sesawang RoS.
"Seandainya PN masih belum didaftarkan secara rasmi, saya mendesak agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta-merta dengan membatalkan pencalonan semua calon-calon yang bertanding di bawah tiket PN.
"Pilihan raya adalah platform penting buat rakyat untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara. Mereka berhak untuk memilih calon dari parti yang sah di sisi undang-undang untuk menjadi wakil seterusnya membentuk kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya calon-calon yang mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan untuk bertanding, ia merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat rakyat khususnya warga Sabah.
Terdahulu, Syed Badli Shah berkata, beliau sendiri telah membuat semakan pendaftaran itu dan setakat jam 2.22 pagi hari ini tiada rekod berkaitan berjaya dipaparkan.
ARTIKEL BERKAITAN PN didakwa tiada rekod daftar parti
Katanya, melalui makluman media, kononnya permohonan untuk pendaftaran parti PN telah dihantar sebelum atau pada 20 Ogos 2020.
"Justeru itu, saya menggesa RoS untuk memberikan pencerahan apakah status pendaftaran parti PN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!