Gara-gara buat bising, pemandu lori maut ditetak parang
ALOR GAJAH - Seorang pemandu lori maut ditetak dengan parang dalam satu pergaduhan di Taman Pengkalan Indah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa dikenali sebagai Anbarasu, 25, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus selepas pertengkaran mulut berpunca daripada mangsa dan rakannya yang membuat bising dengan memulas pendikit motosikal di hadapan rumah penduduk taman perumahan terbabit.
"Kedua-dua pihak kemudian bertindak membaling helmet dan parang di dalam pekarangan rumah.
"Mangsa kemudian didakwa membuka seluar dan menunjukkan kemaluan kepada isteri salah satu individu menyebabkan suspek berang," katanya.
Menurutnya, suspek berang dan tidak dapat mengawal emosi sehingga tercetus pergaduhan dengan menggunakan senjata tajam.
"Mereka mengejar mangsa dan rakannya lebih kurang sejauh 80 meter sebelum suspek menetak mangsa beberapa kali pada bahagian badan, manakala rakan mangsa dapat melarikan diri.
"Mangsa yang cedera parah kemudian dibawa isterinya ke hospital dengan menaiki kereta sebelum pasukan perubatan mengesahkan dia meninggal dunia kira-kira jam 11 malam," katanya di sini hari ini.
Mohd Nor Yhazid berkata, susulan itu polis membuat tangkapan terhadap sembilan individu berusia 20-an hingga 50-an bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!