Draf kebudayaan negara siap September

Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
Mohamaddin Ketapi - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Draf akhir penggubalan Dasar Kebudayaan Negara (DKN) baharu dengan visi menjadikan 'Negara Maju Rakyat Berbudaya' melalui misi memartabatkan seni, budaya dan warisan dijangka siap September ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, penggubalan DKN baharu itu mengambil kira saranan hasil kajian Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 dan kementeriannya juga sedang melibatkan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh dan penggiat industri untuk memberikan pandangan.

“Ia masih di peringkat pengumpulan maklumat dan kami yakin DKN yang baharu ini akan membawa lebih banyak kebaikan dengan tumpuan inklusif kepada membina jati diri bangsa Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata kementerian juga akan memberi tumpuan khusus untuk membangunkan industri ekopelancongan dan budaya yang Malaysia mempunyai kelebihan berbanding negara lain.

Bagi konsep ekopelancongan dan budaya itu, selain memperbanyakkan infrastruktur turut dikekalkan ialah khazanah alam dan budaya sedia ada, satu aspek yang dimahukan pelancong asing, katanya.

Untuk itu, katanya kementerian akan meneruskan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 dengan misi mempromosikan Malaysia sebagai satu daripada destinasi ekopelancongan dan budaya terkemuka dunia dengan lebih agresif, strategik dan konsisten.

Mohamaddin berkata kementerian menyasarkan jumlah kedatangan pelancong antarabangsa seramai 28.1 juta dengan nilai ekonomi sebanyak RM92.2 bilion pada tahun ini bagi sektor itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!