Pelajar kolej dituduh bunuh bayi bebas dengan jaminan

Julai lalu, media melaporkan seorang bayi perempuan yang baru lahir maut dipercayai dicampak oleh ibunya sendiri dari tingkat 13
Julai lalu, media melaporkan seorang bayi perempuan yang baru lahir maut dipercayai dicampak oleh ibunya sendiri dari tingkat 13
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pelajar kolej yang dituduh membunuh bayi baru dilahirkan pada Julai lalu hari ini dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dalam membenarkan permohonan jaminan M Santhiea, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk P Ravinthran dan Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak turut mengenakan syarat lain terhadap remaja berusia 18 tahun itu.

Remaja tersebut yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda perlu melaporkan diri di balai polis Air Itam, Pulau Pinang, setiap minggu bermula Sabtu ini dilarang mengganggu saksi kes serta dilarang memohon pasport.

Hakim Kamaludin yang mempengerusikan panel tersebut berkata, jaminan itu akan tamat sebaik sahaja kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Santhiea didakwa di Mahkamah Tinggi Georgetown pada 21 Ogos lalu atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkan di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru Ayer Itam, Georgetown pada jam 8.25 pagi 10 Julai.

ARTIKEL BERKAITAN Bayi baru dilahirkan maut dicampak dari tingkat 13

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Peguam RSN Rayer memberitahu panel hakim bahawa Santhiea memerlukan penjagaan berterusan daripada keluarganya kerana mengalami kecederaan tidak normal akibat bersalin.

Menurutnya, anak guamnya mengalami kesakitan yang teruk dan tidak dapat berjalan.

Artikel Berkaitan:

“Saya memohon mahkamah menunjukkan belas kasihan untuk memberikan jaminan,” katanya sambil menambah bahawa Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan seorang wanita yang didakwa atas kesalahan tidak boleh dijamin boleh dibebaskan atas jaminan sementara menunggu perbicaraan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir membuat bantahan awal dengan menyatakan permohonan jaminan itu pramatang kerana kes tersebut belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk merekodkan pengakuan.

Bapa Santhiea membayar jaminan tersebut. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Pelajar kolej dituduh bunuh bayi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!