Polis lulus 257 permohonan permit ceramah

PRN Sabah
PRN Sabah
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Sabah meluluskan sebanyak 257 permohonan permit ceramah atau perhimpunan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Sabah, Asisten Komisioner Tan Boon Sing berkata, jumlah keseluruhan permohonan permit adalah sebanyak 265, namun hanya 257 permohonan yang diluluskan.

Katanya, sebanyak lima borang ditolak kerana tidak diisi dengan lengkap manakala dua lagi ditarik balik oleh pemohon.

"Selain itu, sejak Rabu hingga semalam, sebanyak tujuh laporan polis diterima termasuk satu membabitkan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas kerana borang pencalonannya ditolak selepas didakwa muflis dan kertas siasatan dibuka di Penampang atas kesalahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"Selebihnya adalah berkaitan pemantauan yang dibuat ketika PRN berlangsung dan setakat ini tiada kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 195," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Boon Sing berkata, calon dan ejen perlu memohon permit dari Ketua Polis Daerah di kawasan tempat ceramah diadakan dan perlu mengikut syarat yang ditetapkan.

"Calon boleh membuat kempen dari rumah ke rumah, tetapi dengan bilangan yang tidak lebih dari tiga orang dan mereka tidak boleh membawa penyokong yang ramai membuat kunjungan itu.

"Calon, ejen dan penyokong diingatkan bahawa PRN kali ini diadakan ketika berkuatkuasanya Perintah Sekatan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit Dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan dengannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, calon dan penyokong parti serta orang ramai yang hadir di tempat ceramah atau perhimpunan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak daripada ditangkap atau dikompaun.

"Perkara asas yang perlu diambil perhatian juga adalah termasuk mengekalkan penjarakkan sosial dan memakai pelitup muka serta kehadiran dalam sesuatu bangunan tidak melebihi 250 orang mengikut keluasan tempat.

"Penganjur juga perlu mencatatkan kehadiran dan suhu badan penonton yang hadir serta menyediakan cecair pembasmi kuman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!