Komen Klopp isu perbelanjaan Chelsea melucukan: Lampard
PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard menyifatkan komen Jurgen Klopp mengenai perbelanjaan kelab London itu dalam pembelian pemain sebagai sesuatu yang melucukan.
"Biarpun sejujurnya saya kurang selesa dengan komen Klopp mengenai perbelanjaan Chelsea dalam pembelian pemain, namun sedikit agak melucukan.
"Saya percaya semua mengetahui kisah bagaimana proses empat kelima tahun Liverpool bagi menjadi sebuah kelab hebat. Semuanya bermula apabila Klopp merekrut pemain-pemain baharu berkualiti bagi membentuk semula kekuatan Liverpool.
"Secara realitinya selain daripada Leicester City, kebanyakan kelab lain yang menjuarai Liga Perdana Inggeris merekrut pemain berkualiti dengan perbelanjaan yang besar," katanya.
Pada saingan musim ini, kelab berpusat di Stamford Bridge itu menghabiskan lebih dari 200 juta pound untuk khidmat pemain antaranya Timo Werner, Kai Havertz dan Ben Chilwell.
Sementara itu, Liverpool pula membelanjakan 11.7 juta pound untuk membawa pemain pertahanan, Kostas Tsimikas dari Olympiakos ke Anfield.
Jelas bekas pemain Chelsea itu lagi, Liverpool membelanjakan 75 juta pound untuk mendapatkan Virgil van Dijk bagi mentransformasikan bahagian pertahanan The Reds.
"Itu belum lagi pemain-pemain lain seperti Alisson, Fabinho, Keita, Mane, Salah, pemain luar biasa, dengan harga yang sangat tinggi dan harus diingat Liverpool telah melakukannya dalam jangka masa yang lama," katanya.
Tegas Lampard lagi, Chelsea kembali aktif di pasaran pembelian pemain musim ini selepas selesai menjalani penggantungan dua jendela perpindahan pemain dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Apabila penggantungan dikenakan berakhir Disember lalu, barulah kelab boleh merekrut pemain pada Januari.
"Kami hanya melakukan pembelian dalam usaha memperkuatkan semula cabaran kelab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!