Malaysia tanggungjawab kita bersama

Kita semua ingin berjaya dalam hidup, memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang baik, peluang pekerjaan, penjagaan kesihatan untuk keluarga kita dan peluang untuk bersinar. Gambar hiasan
Kita semua ingin berjaya dalam hidup, memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang baik, peluang pekerjaan, penjagaan kesihatan untuk keluarga kita dan peluang untuk bersinar. Gambar hiasan
A
A
A

Perubahan tidaklah semudah yang disangka. Manakala kompromi pula memerlukan sedikit pengorbanan, dan itu juga bukanlah satu perkara yang mudah. Namun begitu, setiap hari tatkala matahari terbit, kita diberi peluang untuk menjadikan sesuatu perkara lebih baik, dengan membuat pengorbanan dan perubahan yang kecil.

Saya faham ramai rakyat Malaysia datang daripada pelbagai spektrum yang berbeza merasa sedih dan kecewa disebabkan sesuatu perkara atau perkara yang lain. Tidak cukup agama, terlebih agama, tidak cukup kaum, terlalu banyak kaum, tidak cukup kebebasan, terlalu banyak kebebasan.

Hampir 40 tahun kita telah dimomokkan untuk percaya kita amat berbeza. Di mana setiap kaum dipisahkan oleh harapan dan aspirasi, namun walaupun berbeza-beza, secara realitinya kita adalah sama.

Kita semua ingin berjaya dalam hidup, memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang baik, peluang pekerjaan, penjagaan kesihatan untuk keluarga kita dan peluang untuk bersinar. Kita semua mahukan hak untuk beribadat kepada sesiapa sahaja yang kita pilih.

Aspirasi dan harapan kita adalah sama. Tetapi ianya memerlukan masa dan kesabaran untuk keluar daripada kepompong momokan. Untuk keluar daripada ketakutan dan kejahilan. Untuk menjadikan dunia, tempat yang lebih baik, menjadikan Malaysia sebagai rumah yang kita semua inginkan, ianya memerlukan kesabaran. Ianya lebih baik untuk mencuba dan gagal daripada tidak mencuba langsung sama sekali. Setiap kegagalan itu merupakan ilmu untuk menuju kejayaan, dan saya mempunyai banyak pengalaman dari segi ilmu yang berhasil dari kesilapan.

Hakikatnya, tiada negara seperti Malaysia. Dengan semua kesilapan kita, tiada negara yang cocok untuk kita anggap sebagai rumah. Kita tidak boleh membenarkan mana-mana individu yang cuba menakut-nakutkan kita, sama ada mereka adalah warga asing ataupun rakyat tempatan - tanpa mengira warna kulit, untuk cuba memecah-belahkan kita. Jadi, janganlah kita cepat melatah. Kita seharusnya bersatu kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Kita mempunyai cabaran-cabaran getir di hadapan kita. Namun, tiada apa yang tidak dapat kita tempuhi dan atasi. Saya mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap tanah air dan rakyatnya. Saya percaya akan anda semua. Saya seorang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan.

Kita semua Malaysia, Jangan pernah kita lupa. KITA ADALAH MALAYSIA.

Artikel Berkaitan:

Semoga Tuhan memberkati kita dan Selamat Hari Malaysia!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!